Esok hari terakhir cari Acap
GOPENG - Operasi pencarian Mohammad Ashraf Hassan, 29, peserta Gopeng Ultra Trail yang dijalankan sejak Ahad lalu akan memasuki hari terakhir esok.
Operasi yang disertai 170 anggota pelbagai jabatan dan agensi itu masih gagal menemukan sebarang petunjuk yang memberikan hasil positif setakat ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Yunus Abu berkata, skop pencarian mangsa telah diperluaskan hingga 10 KM di kawasan terlibat.
"Keadaan hujan setiap petang dan tanah yang licin sedikit sebanyak menyukarkan pencarian anggota di kawasan Bukit Batu Putih.
"Ada peserta mengesahkan mangsa ada bersamanya di check point 10 namun kita mengarahkan anggota mengulangi pencarian mangsa di laluan asal iaitu bermula dari permulaan hingga ke kawasan penamat," katanya.
Menurutnya, pihaknya masih gagal menemui mangsa mahupun petunjuk baharu di lokasi kejadian.
"Kita turut menyerahkan kepada polis untuk menilai aspek lain selain sesat berhubung kehilangan mangsa ini," katanya.
Sabtu lalu, mangsa yang berasal dari Muar, Johor itu disedari hilang selepas tidak tiba di garisan penamat meskipun berada pada kedudukan 10 peserta teratas bagi kategori 25KM.
Operasi mencari digerakkan pada Ahad bermula di check point 6 iaitu lokasi terakhir mangsa dilihat.
Sepanjang tempoh pencarian ini, pasukan penyelamat memperolehi beberapa maklumat yang dijadikan petunjuk antaranya gambar, panggilan terakhir dan botol air disyaki milik mangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!