Etika lantik Amy sebagai Naib Presiden Pemasaran
SYARIKAT pengeluar minuman halal, Kumpulan Etika (Etika) mengumumkan pelantikan Amy Gan sebagai Naib Presiden Pemasaran bermula pada 1 Jun depan.
Etika dalam satu kenyataan berkata, pelantikan itu bertujuan bagi meningkatkan usaha meneroka dan mengukuhkan strategi pendigitalan Etika untuk industri barang pengguna gerak pantas (FMCG).
“Beliau bertanggungjawab untuk strategi penjenamaan dan pemasaran keseluruhan Etika dan ATLAS Vending (anak syarikat milik penuh Etika) termasuk kempen pembinaan jenama kreatif, pemasaran perdagangan, perhubungan awam, pengurusan acara dan tajaan untuk Malaysia dan Singapura.
“Dengan pengalaman lebih 13 tahun, Amy memulakan kerjayanya sebagai Eksekutif Jenama untuk Revive Isotonic di bawah Etika pada tahun 2009.
“Dengan mendedikasikan kerjanya untuk mengembangkan jenama produk Etika, beliau telah membuktikan berulang kali bahawa beliau mempunyai pengetahuan dan pengalaman untuk menjawat peranan penting dalam Etika,” kata kenyataan tersebut pada Jumaat.
Menurut kenyataan itu, Amy juga akan membawa strategi baharu untuk Etika memulakan usaha mereka dalam mendigitalkan pemasaran dan komunikasi organisasi tersebut.
“Dalam peranan baharu beliau sebagai Naib Presiden Pemasaran, Amy akan meneruskan usaha Etika untuk mendigitalkan perniagaan dan meningkatkan penembusan pasaran melalui kempen yang kreatif untuk menarik minat pihak berkepentingan Etika termasuk rakan kongsi dan pengguna,” ujarnya.
Sementara itu, Amy berkata, dengan kerjasama rakan sepasukan, mereka akan menyahut peluang melaksanakan pelbagai idea bagi menarik perhatian pengguna seiring dengan mencipta pengalaman jenama yang menarik.
“Kami ingin menyahut peluang-peluang yang muncul dari setiap teknologi, data, dan platform baharu, lalu membentuk kemungkinan yang praktikal kepada era pengguna baru, pada masa yang sama mencipta pengalaman jenama yang menarik.
“Saya berharap dapat bekerjasama dengan rakan sepasukan untuk melaksanakan idea-idea kreatif untuk menarik perhatian pengguna demi memenuhi harapan pihak berkepentingan kami,” menurutnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!