Penyewa masih dimonopoli warga tempatan

Zulkifli menunjukkan keadaan sebuah rumah yang rosak.
Zulkifli menunjukkan keadaan sebuah rumah yang rosak.
A
A
A

SABAK BERNAM - Majoriti penyewa rumah kos rendah, Taman Air Manis 1 dan 2, di sini, masih dimonopoli warga tempatan dan hanya tiga rumah sahaja disewa kepada warga asing.

Setiausaha Jawatankuasa Penduduk Taman Air Manis, Zulkifli Ijoh berkata, kawasan perumahan yang memiliki 644 unit itu menjadi tumpuan warga tempatan berikutan lokasinya yang strategik kerana terletak kira-kira enam kilometer dari Sungai Besar dan Pekan Sabak.

"Kawasan perumahan ini majoritinya kaum Melayu yang kebanyakannya bekerja sebagai kakitangan kerajaan," katanya.

Zulkifli berkata, warga asing biasanya tidak berminat untuk menetap di kawasan perumahan, melainkan tinggal di rumah kongsi yang didirikan di tapak binaan.

"Kawasan Sabak Bernam ini bukanlah lubuk kepada warga asing mencari rezeki kerana peluang kerja terhad berbanding di kawasan bandar," katanya.

Menurutnya, setakat ini, tiada sebarang kegiatan tidak bermoral dilakukan warga asing yang menghuni perumahan itu.

Bagaimanapun, katanya, taman perumahan itu berdepan beberapa kes kecurian dan kerosakan rumah yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.

Artikel Berkaitan:

Perumahan Taman Air Manis masih dimonopoli warga tempatan berikutan lokasinya strategik.
Perumahan Taman Air Manis masih dimonopoli warga tempatan berikutan lokasinya strategik.

Katanya, terdapat saudara baharu yang menerima bantuan sewaan rumah daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyalahgunakan bantuan yang diterima.

"Kita dah kenal pasti pihak terlibat kerana terdapat banyak kes kecurian melibatkan saudara baru ini, malah sebuah rumah tidak berpenghuni dijadikan sebagai sarang penagihan dan aktiviti tidak bertanggungjawab.

"Saya merayu kepada LZS supaya meneliti dan menyiasat latar belakang penerima bantuan sewaan rumah tersebut," katanya.

Katanya, pihaknya sentiasa komited memastikan keamanan dan keharmonian di kawasan kejiranan itu sentiasa dipertingkat dari semasa ke semasa.

Menurutnya, pihaknya tidak menghalang pemilik kediaman menyewa rumah mereka, asalkan penyewa bertanggungjawab dan tidak menimbulkan sebarang kacau ganggu di kawasan kejiranan.

"Kita tak ada masalah jika pemilik ingin menyewa rumah mereka walaupun pada dasarnya rumah ini dibina untuk membantu golongan berpendapatan rendah miliki rumah sendiri.

"Namun, penyewa sepatutnya memastikan rumah mereka ini disewa kepada pihak yang tidak bermasalah dan tak terlibat dalam sebarang aktiviti jenayah," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!