KPDNHEP Sandakan rampas 17.5 tan metrik minyak masak bersubsidi
SANDAKAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) cawangan Sandakan merampas 17.5 tan metrik minyak masak bersubsidi menerusi serbuan di sebuah rumah sewa di Batu Sembilan pada Khamis.
Ketua Pegawai Penguatkuasanya, Azdy Zukkry John berkata, dalam serbuan jam 4.30 petang itu, pihaknya turut merampas peralatan digunakan untuk menyeleweng minyak masak, sebuah ‘tangki skid dalam premis dan sebuah lori 10 tan dengan jumlah rampasan bernilai RM98,750.
"Hasil siasatan awal mendapati minyak masak bersubsidi dalam pek satu kilogram berharga RM2.50 dipindahkan ke dalam sebuah tangki skiad sebelum diproses dalam pek pembotolan sebelum dijual dengan harga RM7.50 sekilogram,” katanya dalam sidang media pada Jumaat.
Beliau berkata, pihaknya percaya bekalan minyak bersubsidi itu kemudian dijual kepada pihak industri untuk pasaran tempatan ataupun diseludup ke negara jiran.
Dalam serbuan itu, katanya, seorang lelaki berusia 39 tahun ditahan untuk membantu siasatan.
Katanya, tindakan pihak tidak bertanggungjawab ini telah menyebabkan kekurangan minyak masak bersubisidi paket satu kilogram di sini dan penduduk kampung serta golongan berpendapatan rendah mengadu sukar mendapat bekalan minyak masak.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!