Mane hampiri Allianz Arena

Mane
Mane
A
A
A

JUARA Bundesliga Jerman, Bayern Munich dilaporkan bersetuju dengan terma ditetapkan Liverpool untuk menandatangani khidmat Sadio Mane bagi beraksi di Allianz Arena, lapor media tempatan.

Menurut laporan itu, Bayern akan membayar yuran dalam lingkungan 35 juta pound untuk penyerang Senegal berusia 30 tahun itu, yang mempunyai baki kontrak setahun bersama Liverpool.

Mane dijangka menandatangani kontrak selama tiga tahun akan menjalani pemeriksaan kesihatan minggu depan.

Tonggak prolifik The Reds itu akan meninggalkan Anfield selepas melakukan 269 penampilan dengan menjaringkan 120 gol dalam semua kejuaraan.

Selain itu, Mane juga merupakan antara pemain yang membantu skuad kendalian Jürgen Klopp merangkul kejuaraan Liga Juara-Juara pada 2018/19 diikuti gelaran Liga Perdana Inggeris semusim kemudian.

Musim lalu, dia yang juga antara pemain terbaik Liverpool telah menjaringkan 23 gol ketika skuad Klopp memastikan kejuaraan berganda domestik - Piala Liga dan Piala FA dalam koleksi The Reds

Mane yang memenangi enam trofi kesemuanya berikutan perpindahan 34 juta pound dari Southampton pada Jun 2016, telah membentuk trio serangan digeruni bersama Mohamed Salah dan Roberto Firmino.

Pada bulan lalu, Klopp memuji Mane apabila menyifatkan pemain itu merupakan tonggak kelas dunia sambil menyamakannya seperti 'mesin', pada ketika pemain itu teruja menggalas cabaran baharu, selepas dilaporkan menolak kontrak baharu bersama Liverpool.

Mane juga merupakan pemain pilihan utama Klopp selepas mengambil alih Liverpool ketika pengendali Jerman itu berusaha menghidupkan semula kelab sarat tradisi kejuaraan liga Inggeris itu selepas bertahun-tahun mengharungi musim mengecewakan.

Kehadiran Mane ternyata mengubah cara kelab itu apabila gabungan rentak, muslihat dan gaya permainannya membawa Liverpool ke kelayakan Liga Juara-Juara pada musim pertamanya.

Untuk rekod, Mane akan menjadi pembelian ketiga Bayern selepas duo Ajax Amsterdam, Ryan Gravenberch dan Noussair Mazrouai.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!