Penunggang motosikal maut terperosok bawah treler

Anggota bomba membantu mengeluarkan mayat mangsa dari bawah treler sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Anggota bomba membantu mengeluarkan mayat mangsa dari bawah treler sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
A
A
A

KUANTAN - Seorang lelaki warga emas terperosok di bawah treler dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan dengan kenderaan berat itu di Jalan Industri Semambu 6, Semambu di sini pada Jumaat.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, mangsa dikenali P Rajakamaran, 62, menunggang motosikal jenis Demak EX90 mengalami parah di kepala manakala pembonceng V Kartikhesu, 18, dan pemandu treler, Muhamad Alif Jani, 30, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika treler tanpa muatan itu dalam perjalanan dari arah Jalan Industri Semambu 6 menghala ke Jalan Industri Semambu 5.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, treler tersebut membelok ke kiri untuk memasuki simpang ke Jalan Industri Semambu 5.

"Motosikal yang dinaiki mangsa bersama pembonceng yang datang dari arah sama terlanggar bahagian tayar hadapan treler berkenaan.

"Mangsa terjatuh terperosok di bawah kenderaan itu bersama motosikalnya dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian ekoran kecederaan parah dialaminya," katanya.

Wan Mohd Zahari berkata, mayat mangsa berjaya dikeluarkan dengan bantuan pihak bomba sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk proses bedah siasat.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!