Forum Rakyat kupas isu semasa, pembangunan belia, negara

Forum Rakyat yang julung kali menampilkan tiga ketua pemuda dari Pas, UMNO dan Amanah berlangsung di Dewan Perniagaan Cina Kelantan, pada Khamis.
Forum Rakyat yang julung kali menampilkan tiga ketua pemuda dari Pas, UMNO dan Amanah berlangsung di Dewan Perniagaan Cina Kelantan, pada Khamis.
A
A
A

KOTA BHARU - Forum Rakyat yang julung kali menampilkan tiga ketua pemuda dari Pas, UMNO dan Parti Amanah Negara (Amanah) di Dewan Perniagaan Cina Kelantan di sini, pada Khamis dilihat sebagai ‘pesta’ demokrasi dalam membincangkan pelbagai isu semasa dan pembangunan masa depan belia serta negara.

Forum itu menampilkan tiga ahli panel iaitu Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor, Ketua Pemuda Pas, Mohamad Kamal Mohamed dan Ketua Pemuda Amanah, Hazmi Hassan.

Moderator, Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Politik dan Pentadbiran Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, walaupun ketiga-tiganya berbeza pandangan dan ideal namun ada kebersamaan dalam memfokuskan pembangunan anak muda dan belia untuk masa depan negeri Kelantan yang lebih hebat serta luar biasa.

“Ini medan perbincangan ilmu ilmiah dan saya melihat ini adalah ‘pesta’ demokrasi kepada perubahan pemikiran yang lebih baik selepas ini,” katanya.

Forum antaranya membangkitkan isu berkaitan peluang pendidikan, pekerjaan dan inisiatif kepada golongan muda di negeri itu selain kepentingan mereka dalam arena politik negara.

Mohamad Kamal berkata, Pas menawarkan kepada anak muda budaya politik matang dan sejahtera serta bersedia melupakan segala sengketa demi memastikan kuasa Melayu Islam terus kekal di Kelantan seterusnya Malaysia.

“Kita tidak mahu anak muda menolak atau membenci politik, tidak mahu politik ‘cah keting’ atau bercanggah dengan agama sebaliknya nak politik yang berlandaskan Islam serta patuh pada undang-undang negara, kita nak politik kasih sayang.

“Asas yang kita pegang, bersama ke arah kebajikan, bertakwa dan kita hendak bersama dengan UMNO. Kita lupakan sengketa dan kita tak nak pisah dengan UMNO,” katanya yang disahut sorakan hadirin.

Hadir sama, Pengarah UPKN Ahmad Fathan Mahmood.

Sementara itu, Noor Hariri berkata, UMNO tidak ada masalah langsung untuk bekerjasama dengan Pas sambil bersalaman dengan Mohamad Kamal ketika forum berlangsung.

Sementara itu, Forum Rakyat Siri 1 anjuran Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) yang bertajuk Masa Depan Kelantan: Anak Muda tersebut bagaimanapun bertukar gamat apabila perbincangan beralih kepada isu-isu semasa antaranya berkaitan bekalan air.

Ujar Noor Hariri, golongan muda memerlukan kemudahan infrastruktur yang baik terutama bekalan air bersih, kemudahan pengangkutan awam dan data internet seiring dengan peredaran zaman.

“Kemudahan air kena ada, sekarang pun ada tetapi mungkin perlu kita sempurnakan. Perkara ini hakikat, saya sendiri mengalami, semua rumah pun mengalami, kita tak boleh berada dalam sindrom penafian.

“Sumber air bersih ini salah satu infrastruktur yang wajib dan pengangkutan seperti bas henti-henti, kemudahan pinjaman untuk modal perniagaan dan perumahan. Barulah rakyat dapat merasai kebajikan daripada kerajaan negeri,” katanya.

Dalam pada itu, ketika menjawab soalan audien, Hazmi menegaskan dasar membangun bersama Islam perlu selari dengan tindakan dan perlaksanaan Islam dalam urus tadbir kerajaan.

“Semua yang ada di dalam dewan ini bersetuju untuk teruskan dasar-dasar Islam. Kalau dasarnya Islam tetapi buka paip air, yang keluar warna kuning, kita tidak setuju.

“Dasarnya Islam tetapi nak bantu rakyat pun tak mampu, kita tak setuju. Kalau dasar sahaja Islam, anak muda tidak dilibatkan dalam pembangunan di Kelantan, kita tidak setuju. Jangan kita solekkan dengan Islam, tetapi perlaksanaannya tidak Islam,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!