Pengawal keselamatan dijel 7 tahun rompak telefon bimbit

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Padah merompak telefon bimbit milik seorang pembantu jualan wanita tahun lalu, seorang pengawal keselamatan dipenjarakan tujuh tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, semalam.

Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Faizal Rismal, 28, selepas mendapati pihak pembelaannya gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Mahkamah memerintahkan Muhammad Faizal menjalani hukuman penjara tersebut bermula dari tarikh dia ditangkap pada 1 Oktober tahun lalu di Penjara Sungai Buloh.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Faizal didakwa merompak sebuah telefon bimbit jenis Huawei Nova 2I bernilai RM1,400 milik Mafuro Malyis, 25, di hadapan sebuah bank di Mid Valley Megamall di sini, jam 8.15 malam pada 1 Oktober 2018.

Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 14 tahun dan juga boleh dikenakan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Mohd Ashif memohon mahkamah mengenakan hukum setimpal bagi memberikan pengajaran terhadap tertuduh dan orang lain agar tidak melakukan kesalahan sama di masa akan datang.

Bagaimanapun Muhammad Faizal yang tidak diwakili peguam bela memohon hukuman ringan kerana merupakan penanggung utama keluarga termasuk seorang anak berusia dua tahun.

Sepanjang perbicaraan yang bermula tahun lalu itu, seramai lima saksi pendakwaan dan lima saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!