PRU15: Shabudin undur diri, beri laluan pemimpin muda
BAYAN BARU - Bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pulau Pinang, Datuk Shabudin Yahaya mengesahkan tidak akan bertanding untuk sebarang kerusi pada Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, keputusannya itu dibuat bagi memberi laluan kepada pemimpin muda yang lebih aktif untuk menggalas tanggungjawab dalam membantu rakyat.
Bagaimanapun tegasnya, beliau akan terus aktif dalam politik sebagai ahli biasa bagi membolehkan parti tersebut terus mendapat tempat di hati pengundi.
"Saya bercadang untuk bersara daripada jawatan-jawatan politik namun masih bergiat (dalam politik) tetapi tidak mahu jadi wakil rakyat lagi. Ini kerana, saya sudah empat penggal, dua penggal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Berangan dan dua penggal lagi sebagai Ahli Parlimen Tasek Gelugor. Tempoh ini saya rasa 'sedang elok' untuk saya berkhidmat.
"Yang kedua, saya mahu beri peluang kepada pimpinan-pimpinan muda, tak kisah siapa pun tetapi biar yang muda," katanya ketika ditemui selepas perasmian Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan (MAPT) ke-9 dan Pengundian Pemilihan Anggota Lembaga Koperasi 2022 pada Sabtu.
Shabudin yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah, Amanah Ikhtiar Malaysia itu berkata, melihat kepada pola politik ketika ini, sesebuah parti politik perlu membuat perubahan dengan memberi laluan kepada pemimpin yang lebih muda.
"Bagi saya, pemimpin yang berusia lebih 55 tahun sepatutnya bersara (dengan mengambil kira beberapa faktor termasuk fizikal) kerana selepas usia itu, produktiviti kita sudah menurun. Oleh itu, beri lah peluang kepada pelapis muda kerana mereka lebih bertenaga dan mempunyai buah fikiran yang lebih segar.
"Dari segi kesihatan, saya sihat cuma ada menjalani pembedahan kecil namun untuk menjadi wakil rakyat buat lima tahun lagi, mungkin dah tak sihat dan saya juga semakin berusia," katanya.
Mengulas mengenai perancangannya selepas ini, Shabudin berkata, beliau akan berkhidmat untuk parti dan berkongsi pengalamannya sebagai wakil rakyat dalam memastikan Bersatu menjalankan tanggungjawabnya kepada rakyat.
"Saya akan tetap dengan parti tetapi enjin kena 'enjin muda' untuk memimpin parti. Selain itu, saya juga ingin memberi masa kepada keluarga. Selama ini, banyak masa saya berikan kepada tugas saya sebagai wakil rakyat.
"Saya cuba bahagikan kehidupan saya selepas ini untuk keluarga dan diri sendiri pula," katanya.
Untuk rekod, Shabudin yang sebelum ini ahli UMNO menjadi ADUN Permatang Berangan untuk dua penggal bermula 2004 hingga 2008 sebelum bertanding kerusi Parlimen Tasek Gelugor atas tiket UMNO pada PRU13 dan PRU15.
Bagaimanapun, selepas berlaku tsunami politik pada PRU15, Shabudin mengumumkan keluar daripada UMNO pada Disember 2018 dan menyertai Bersatu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!