Hamilton sifatkan jentera musim ini sukar dikendalikan
JUARA dunia tujuh kali, Lewis Hamilton menyifatkan jentera yang digunakan pasukan Mercedes musim ini sebagai jentera yang sukar untuk dikendalikan.
Hamilton turut melihat situasi berkenaan ibarat 'bencana' kepada pasukan berkenaan setelah mengharungi sesi latihan menjelang Grand Prix Formula 1 Kanada yang dijadualkan berlangsung di Litar Gilles Villeneuve, 20 Jun ini.
Malah menurut Hamilton, sekiranya semua permasalahan berkenaan tidak diatasi dengan segera berkemungkinan pasukan itu tidak dapat mencatatkan sebarang kejayaan bagi saingan musim ini.
"Setakat ini segala kerja yang dilakukan masih belum menampakkan sebarang hasil yang memuaskan...semua yang dilakukan itu sebenarnya hanya bagi tujuan persediaan (set-up) yang berbeza.
"Saya dan George (Russel) sudah melalui pelbagai persediaan (set-up) yang dilakukan terhadap jentera yang akan digunakan, namun sehingga kini ia masih belum memberikan hasil.
"Cuma kali ini, saya mahu mendengar sendiri daripada George mengenai sesi latihan yang diharunginya kali ini," katanya.
Pada sesi latihan yang bermula pada Sabtu, Hamilton sekadar menamatkan perlumbaan pada kedudukan ke-13 dengan catatan masa 1 jam 15.421 saat manakala Russell mencatatkan 1 jam 14.971 saat di tempat ketujuh dan juara dunia, Max Verstappen mencatatkan 1 jam 14.127 saat untuk mengungguli sesi latihan berkenaan.
Sementara itu, Hamilton menegaskan, catatan masa pada sesi latihan berkenaan adalah catatan masa yang buruk baginya apabila ketinggalan lebih daripada satu saat kepada Verstappen.
Oleh itu katanya, keadaan berkenaan memerlukan satu tindakan segera agar masalah berkenaan dapat diatasi.
"Saya percaya pihak teknikal pasukan sedang berusaha ke arah itu (menangani masalah), tetapi ia tetap memerlukan kerja keras dan seterusnya bagi memastikan kita dapat membina jentera yang lebih baik pada masa akan datang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!