Malaysia puji pencapaian cemerlang Persidangan Peringkat WTO ke-12
KUALA LUMPUR - Persidangan Peringkat Menteri Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) ke-12 (MC12) yang berlangsung di Geneva, Switzerland telah menghasilkan pencapaian cemerlang dalam beberapa bidang utama rundingan.
Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, para anggota memanfaatkan fleksibiliti sepenuhnya dalam bidang yang sukar, menyaksikan perjanjian bersejarah dalam beberapa penyampaian utama khususnya Deklarasi dan Keputusan Peringkat Menteri berkenaan Respons WTO terhadap Pandemik Covid-19 dan Kesediaan untuk Pandemik Masa Hadapan serta Tindak Balas Kecemasan terhadap Ketakjaminan Makanan.
Yang lain-lain termasuk Pengecualian Pembelian Makanan Program Makanan Sedunia (WFP) daripada Larangan atau Sekatan Eksport; Perjanjian Subsidi Perikanan; lanjutan moratorium e-dagang untuk transaksi rentas sempadan serta penepian peruntukan tertentu dalam Perjanjian Hak Harta Intelek yang Berkaitan Perdagangan (TRIPs) untuk menangani ketidaksamaan vaksin.
Menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), ini merupakan pencapaian penting bagi Persidangan WTO peringkat Menteri sejak Persidangan Menteri-menteri Bali ke-9 pada 2013.
Dalam satu kenyataan pada Sabtu, Mohamed Azmin berkata, selepas lebih 20 tahun merundingkan kaedah untuk membendung subsidi perikanan yang memudaratkan, dunia menyaksikan perjanjian pertama mengenai Subsidi Perikanan yang amat dinanti-nantikan, yang akan dilaksanakan tidak lama lagi dengan kelestarian lautan menjadi terasnya.
"Malaysia mengalu-alukan keputusan perjanjian ini yang melarang sebarang sokongan terhadap penangkapan ikan yang menyalahi undang-undang, tidak dilaporkan dan tidak terkawal; melarang sokongan bagi penangkapan ikan yang tidak mampan dalam stok berlebihan serta mengekang subsidi di kawasan melebihi kapasiti dan penangkapan ikan dengan menamatkan subsidi untuk menangkap ikan di laut lepas yang tidak dikawal.
"Adalah menjadi harapan dengan perjanjian ini, kita akan dapat menguruskan sumber marin yang semakin berkurangan selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2030, yang dalam jangka panjang, boleh memberi manfaat kepada industri perikanan kita,” katanya.
Berkenaan Deklarasi Peringkat Menteri mengenai Respons WTO terhadap Pandemik Covid-19 dan Kesediaan untuk Pandemik Masa Hadapan, Mohamed Azmin berkata, para anggota komited untuk memastikan bahawa sebarang langkah yang direka untuk menangani Covid-19 mestilah disasarkan, telus dan sementara.
"Pada 13 Jun, saya menegaskan semula sokongan padu Malaysia terhadap usaha dan komitmen Deklarasi Peringkat Menteri, termasuk menerima pakai hasil TRIPs yang menunjukkan bahawa para anggota kini boleh bertindak secara kolektif untuk menangani ketidaksamaan vaksin," katanya.
Menteri itu berkata, sebagai tindak balas kepada krisis keselamatan makanan global, Malaysia mengalu-alukan komitmen anggota untuk menjadikan perdagangan dalam input makanan dan pertanian lebih mudah diramal dan harga dapat dikawal.
Ini boleh dicapai melalui penggunaan Keputusan Menteri mengenai Pengecualian Pembelian Makanan Program Makanan Sedunia (WFP) daripada Larangan atau Sekatan Eksport dan Deklarasi Peringkat Menteri mengenai Tindak Balas Kecemasan terhadap Ketakjaminan Makanan.
"Saya turut menggesa anggota WTO untuk membuat kemajuan konkrit ke arah mencapai sistem perdagangan pertanian yang adil dan berorientasikan pasaran,” tambahnya.
Selain itu, Malaysia juga menyokong Keputusan Menteri untuk mengekalkan amalan semasa untuk tidak mengenakan duti kastam ke atas penghantaran/transmisi elektronik sehingga MC13.
Sehubungan itu, beliau menambah anggota telah bersetuju untuk menghidupkan semula kerja di bawah 'Program Kerja mengenai e-Dagang' untuk mempromosikan pendigitalan dan penggunaan penyelesaian digital berikutan cabaran yang ditimbulkan oleh pandemik.
Beliau berkata, keputusan itu menghargai peranan penting WTO dalam menghantar isyarat positif kepada komuniti perniagaan.
"Saya memuji pengerusi MC12, Timur Suleimenov, Timbalan Ketua Staf Pertama Presiden Kazakhstan dan Ketua Pengarah WTO Dr Ngozi Okonjo-Iweala atas kepimpinan berwibawa dan dedikasi mereka dalam membawa para anggota ke meja rundingan ke arah mencapai kata sepakat dalam bidang rundingan yang sukar," katanya.
Mohamed Azmin berkata, usaha tanpa henti dan kerja keras oleh Menteri Fasilitator dan Pengerusi kumpulan perunding juga memainkan peranan penting dalam mencapai hasil yang seimbang yang boleh diterima oleh kesemua 164 anggota WTO.
Persidangan Peringkat Menteri seterusnya dijangka diadakan pada Disember 2023. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!