Tingkat penggunaan alatan outomasi sektor perladangan
KUALA LUMPUR - Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menyaran pemilik ladang meningkatkan penggunaan teknologi automasi bagi mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dan menjadikan industri sawit negara lebih berdaya tahan untuk tempoh jangka masa panjang.
Menteri, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, berdasarkan kajian dan penyelidikan teknologi oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), peningkatan penggunaan automasi seperti menggunakan dron untuk pengawasan dan kawalan serangga perosak akan menarik minat pekerja tempatan untuk mula bekerja di sektor ladang.
"Kementerian menggalakkan pemilik kebun untuk mula membuat pelaburan bagi mendapatkan alat teknologi kerana pembabitan lebih besar dalam automasi boleh membantu meletakkan minyak sawit sebagai minyak masak pilihan utama di peringkat global, sejajar dengan Kempen 'Minyak Sawit Malaysia Penuh Kebaikan' yang sedang dijalankan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Katanya, kementerian berharap pemilik ladang akan mencari penyelesaian jangka panjang untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.
Dalam masa yang sama, Zuraida berkata, kementerian akan meneruskan usaha mencari penyelesaian bagi mengatasi masalah kekurangan tenaga buruh dalam sektor perladangan khususnya sawit.
Katanya, kementerian sedar kekurangan pekerja akan menyebabkan industri sawit mengalami penurunan pendapatan sebanyak lima peratus sehingga 10 peratus seperti diramalkan Persatuan Pemilik Ladang Malaysia (MEOA).
"Semua pihak perlu menyedari bahawa antara sebab-sebab utama masalah kekurangan tenaga kerja dalam sektor perladangan ini berlaku adalah berpunca daripada langkah penutupan pintu sempadan antarabangsa, bagi membendung penularan wabak Covid-19 di dalam negara, sekali gus melindungi imuniti kelompok rakyat daripada penyakit berjangkit.
"Ketika ini, kementerian terus berganding bahu bersama-sama dengan Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Luar Negeri, Jabatan Imigresen Malaysia dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia bagi mencari penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi dengan kadar segera," katanya.
Pada September 2021, kerajaan bersetuju meluluskan rancangan membawa masuk 32,000 pekerja asing untuk bekerja di ladang kelapa sawit di seluruh negara, katanya.
Selain itu, katanya, pada masa hadapan, pemilik ladang kelapa sawit di seluruh negara perlu melihat prospek pekerja dengan lebih meluas seperti di India dan Pakistan, serta tidak hanya tertumpu kepada pekerja-pekerja dari negara Indonesia dan Bangladesh. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!