Prospek pekerjaan dalam bidang seni meningkat
SHAH ALAM - Tanggapan terhadap Pendidikan Seni Visual (PSV) tidak begitu penting dan tidak menyumbang kepada masa depan serta tiada peluang kerja adalah tidak tepat.
Pengarah Galeri Seni Shah Alam, Alina Abdullah sebaliknya berkata, bidang berkenaan memainkan peranan penting dalam kalangan masyarakat dan kini semakin berkembang.
Menurutnya, pereka dan pelukis pada hari ini bakal berhadapan dengan perubahan keperluan dari persekitaran pasaran dan teknologi maklumat seiring zaman Revolusi Industri 4.0
"Seni itu sudah mencapai tahap sebagai pekerjaan, mendapat permintaan tinggi antaranya seperti teknologi kreatif dan multimedia, jadi kita harap pelajar dapat membuat pilihan tepat untuk masa depan mereka.
"Apa yang dilakukan selepas peringkat sekolah mesti berdasarkan minat, jika ada minat pelajar akan berjaya kerana pilihan pekerjaan bukan lagi (hanya) tertumpu kepada jurutera atau doktor kerana kita sudah memasuki zaman Revolusi Industri 4.0," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Seminar Kerjaya dan Pendidikan Seni 3.0 di Perpustakaan Awam Negeri Selangor di Seksyen 13 di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Suzliana Abdul Hamid.
Mengenai program itu, Alina berkata, dianggarkan seramai lebih kurang 150 orang pelajar sekolah menengah dan kolej Tingkatan Enam menyertai program berkenaan.
Menurutnya, program itu diadakan untuk memberi penerangan dan pendedahan awal kepada pelajar untuk melanjutkan pelajaran dalam jurusan seni kreatif dan multimedia.
"Pelbagai prospek kerjaya dalam bidang seni dan tips dalam menghadapi temu duga mengikut bidang diminati dikongsi dengan mereka dan peserta juga diberikan e-sijil dan modul kursus sebagai rujukan," katanya.
Antara universiti awam dan swasta terlibat terdiri daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Pendidikan Sultan Idris Shah (UPSI), Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan, Universiti Selangor (UniSEL) dan Malaysian Institute of Art (MIA) serta Multimedia Universiti (MMU).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!