7,000 peserta terima bimbingan PEKB

Ismail (duduk, tiga dari kanan) bergambar bersama para peserta pada PEKB Tahun 2022 di sebuah hotel pada Sabtu. - Foto Bernama
Ismail (duduk, tiga dari kanan) bergambar bersama para peserta pada PEKB Tahun 2022 di sebuah hotel pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kira-Kira 7,000 peserta daripada golongan B40 berjaya dibimbing melalui program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar (PEKB) seliaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sejak ia diperkenal pada 2013.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib berkata, program itu yang menyasarkan 14 kursus bimbingan kemahiran keusahawanan dan perniagaan kepada golongan B40 di kawasan bandar, menunjukkan impak positif apabila ramai peserta berjaya meningkatkan pendapatan serta taraf hidup mereka.

"Kita wujudkan skim latihan di PEKB khusus untuk B40 di kawasan bandar supaya mereka dapat meningkatkan pendapatan dan lebih banyak peluang mengembangkan perniagaan diberikan kepada mereka.

"Sebab itu, kita bukan sekadar sediakan kursus malah kita juga beri barangan dan peralatan sama ada untuk memulakan perniagaan ataupun meningkatkan lagi penghasilan produk mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup PEKB di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, pihaknya menyarankan agar badan bukan kerajaan (NGO) yang dilantik oleh kementerian melakukan pemantauan secara berterusan terhadap peserta bagi memastikan program PEKB yang dilaksana benar-benar memberi impak positif dalam kehidupan mereka.

Ismail berkata, setakat ini NGO yang dilantik hanya melaksanakan pemantauan dan penilaian terhadap peserta selama enam bulan selepas mereka mengikuti kursus kemahiran PEKB.

"Kita mahu NGO bertanggungjawab memantau usahawan di bawah mereka. NGO perlu tahu siapa usahawan yang mereka selia, di mana mereka dan apa yang mereka telah capai supaya kita dapat pastikan peruntukan yang disalurkan kerajaan ini digunakan sebaiknya serta melahirkan lebih banyak usahawan yang berjaya dalam kalangan B40,” katanya.

Ismail sebelum itu menyampaikan sijil penyertaan kepada 130 peserta PEKB dari Terengganu, Kelantan dan Negeri Sembilan yang merupakan usahawan B40 di bawah seliaan Persatuan Nurani Rakyat Malaysia.

Kursus lapan hari itu meliputi bimbingan dan latihan dalam bidang pemasaran, sejuk beku, dandanan serta perniagaan dalam talian. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!