Bila semboyan pilihan raya mula berbunyi…

Gambar hiasan. - Foto Bernama
Gambar hiasan. - Foto Bernama
A
A
A

SEJAK akhir-akhir ini kita selalu mendengar suara-suara yang mengatakan bahawa politik dan para politikus hari ini meloyakan, memual dan membosankan. Rakyat sudah bosan dengan politik.

Ada ahli politik meminta penyokong bola diam ketika menonton di stadium, ada juga 'pelawak sarkas' dihantar ke negara yang bakal menjadi kuasa ekonomi ke-4 dunia.

Ada kisah pemimpin parti besar negara yang menerima ratusan ribu ringgit setiap bulan sebagai suapan dan ada gelagat pemimpin yang menyembur air pada tahi cicak dan burung pada saat rakyat Ulu Langat dan Sri Muda kalut ditenggelami lumpur sedalam pinggang... dan seribu satu kisah aneh dan lucu yang terpaksa ditonton oleh rakyat.

Terkadang kita merasakan, betapa kotor dan jijik politikus ini dan betapa bodohnya orang-orang yang menyokong mereka. Namun realitinya, saban tahun, saban pilihan raya, mereka atau seangkatan mereka tetap diangkat menjadi pemimpin negara.

Kenyataannya, dan setelah meneliti pelbagai data pilihan raya sebelum 2021 dan kedua Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor tahun 2022, semua penganalisis hampir bersetuju pada suatu fakta yang bakal menjadi realiti, satu rejim yang pernah memerintah selama 60 tahun akan kembali.

UMNO dan pemimpin mereka (atau kita), yang terpalit dengan kes-kes kleptokrasi dan kes-kes rasuah mega, dengan budaya rasuah dan politik wang yang berakar umbi di dalamnya akan kembali memerintah.

Mana mungkin? Sebahagian mungkin bertanya. Melalui sistem pilihan raya kita yang bersifat first past the post (pertama melepasi sasaran), maka kenyataan ini bakal berlaku.

Kenapa? Kenyataannya 23 peratus yang mengundi Barisan Nasional (dari jumlah keseluruhan pengundi) di Johor adalah pengundi tradisi (iaitu penyokong tegar atau yang pernah mengundi parti tersebut).

BN hanya mendapat 0.85 peratus tambahan sokongan pengundi dari seluruh Johor, berbanding pilihan raya 2018.

Dengan jumlah pengundi yang sama pada 2018, BN telah sebenarnya kalah teruk dalam pilihan raya dan hanya mendapat 19 dari 56 kerusi di Johor. Namun dengan peratus yang sama (23 peratus undi inilah), mereka kini boleh mendapat 2/3 majoriti dalam kerajaan Johor dan Melaka.

Apa jadi dengan pengundi lain? Maka heboh seluruh buana Malaya pekikan pembangkang ketika itu, bahawa kerajaan BN ditubuhkan dengan undi minoriti, dan tidak mewakili seluruh rakyat Johor.

Ketika itu para pembangkang telah lupa satu prinsip demokrasi yang penting, satu undi yang tidak dilaksanakan, maka ia sebenarnya adalah satu undi kepada pihak yang menang.

Keengganan hampir 45 peratus enggan keluar mengundi bermaksud, penolakan 45 peratus rakyat terhadap pembangkang. Ini juga yang dijangkakan bakal berlaku dalam PRU15 yang akan datang. Dan kesan itu, akan membenarkan fakta sebelum ini bahawa kumpulan 23 peratus pengundi tradisi, akan mengembalikan BN untuk memerintah.

Sebahagian penyokong berani mati pembangkang dari tiga belahan parti politik yang ada pada hari ini, iaitu Perikatan Nasional (pembangkang separuh kerajaan), Pakatan Harapan (plus) dan Kumpulan Parti Politik Kancilan (Warisan, Pejuang, Putra, IMAN dan PSM) gagal menerima kenyataan ini.

Sebahagian penyokong ini menyelar betapa bodohnya rakyat untuk memilih parti kleptokrat.

Mereka dari parti pembangkang ini, yang menyelar rakyat, adalah yang sebenarnya bodoh dan sombong. Mereka ini gagal memahami kehendak dan kemahuan rakyat.

Tidak dinafikan sebahagian lagi ejen perubahan dari kumpulan ini yang ikhlas dan bijaksana memahami bahawa rakyat tidak bodoh. Namun mereka juga buntu, pada apa penyelesaian politik ke hadapan.

Satu formula mudah barisan pembangkang hari ini, yang sangat mudah disebut ialah kesatuan besar pembangkang dan satu lawan satu menentang barisan kleptokrat dan barisan kluster mahkamah. Formula ini mudah dikumandangkan, namun kenyataannya tidak semudah itu.

Inilah salah satu faktor di mana kumpulan rakyat yang sedar juga rasa meloya dengan pembangkang. Bagi mereka pembangkang gagal mencipta formula magis untuk satu penyatuan pembangkang.

Kenyataan yang juga gagal difahami oleh kumpulan rakyat yang sedar ini adalah, malangnya bagi rakyat, penyatuan pembangkang ini adalah sesuatu yang hampir mustahil akan berlaku.

Mudahnya begini;

  • Majoriti orang Melayu tidak boleh menerima DAP atau menerima kembali DAP.
  • Sebahagian rakyat tidak boleh menerima Anwar Ibrahim atau sudah bosan dengan Anwar Ibrahim atau PKR atau keduanya.
  • Sebahagian Pakatan Harapan dan mungkin sebahagian besar PKR dan penyokongnya juga tidak boleh menerima kembali Tun Dr Mahathir Mohamad.
  • Majoriti penyokong PH mahupun penyokong Dr Mahathir tidak akan dapat menerima Muhyiddin Yassin dan Azmin Ali.
  • Majoriti penyokong pembangkang masih tidak mampu menerima pilihan alternatif lain untuk memimpin mereka sama ada Shafie Apdal, Mukhriz Mahathir, Syed Saddiq, Nurul Izzah dan Rafizi.

Semua cabaran di atas, sebagaimana kuat pun setiap fanatik parti mahu menyogokkan idea pada pihak yang satu lagi; bahawa pemimpin mereka adalah yang terlebih baik; ianya hampir tidak akan berlaku. Ia akan mengambil masa yang terlalu lama untuk diperbetulkan persepsi dan pemikiran pihak yang lain. Malangnya untuk semua, PRU15 akan berlaku bila-bila masa sahaja lagi.

Ketika mana kekalutan pemimpin pembangkang mencari khemah mana yang lebih baik atau keldai mana yang terlebih sohor untuk memimpin mereka. Ada kenyataan besar yang saya rasakan gagal dijawab oleh 65 peratus rakyat yang tidak mahu menyokong barisan kleptokrat dan barisan kluster mahkamah ini.

Ini bagi saya juga adalah kegagalan besar yang tidak dapat difahami oleh sebahagian besar Pakatan Harapan ketika memerintah kerajaan.

Pembangkang mengimpikan bahawa pertambahan besar pengundi muda (baca Undi 18) akan dapat menafikan kepentingan dan kegagalan mereka dalam menangani masalah utama ini. Namun data PRN Melaka dan Johor sekali lagi menafikan bahawa pengundi muda bukanlah faktor penentu paling utama.

Kumpulan 65 peratus dan pembangkang atau ramai ejen perubahan, gagal memahami dan menyantuni bahawa sokongan bangsa Melayu masih lagi faktor penentu kepada siapa yang akan memerintah negara ini.

Kegagalan kumpulan ini disantuni, akan menyebabkan pembangkang tidak akan mendapat undi sekali gus menang. Hal ini bakal menyajikan kemenangan percuma kepada BN.

Kenapa menyelesaikan masalah politik Melayu akan menyelesaikan masalah negara?

Kerana bangsa bukan Melayu, khususnya kaum Cina pada hari ini sudah jelas dengan pilihan mereka.

Sepertimana data dari PRN Johor dan Melaka, peratusan undi pada DAP hampir tidak berubah. Namun sokongan pada PKR dan Amanah jauh menguncup.

DAP akan dapat mengekalkan kerusi-kerusi mereka di Pulau Pinang dan kawasan-kawasan bandar utama. Malahan kemenangan Muda dan Amanah, mahupun PKR, hampir kesemuanya datang dari penyokong DAP, bukan pun faktor pengundi muda.

Walaupun begitu 50 kerusi PH (baca majoriti DAP) tanpa sokongan Melayu tidak boleh membentuk kerajaan. MCA dan MIC mungkin ingin menegaskan mereka ada kemajuan mutakhir ini, namun kenyataannya, ia jauh lagi dari cita-cita untuk kembali menjadi parti pilihan utama bangsa mereka.

Pandangan saya, 40 lebih kawasan milik DAP hampir pasti, hampir semua akan kekal, termasuk Pulau Pinang. Dalam kes Sarawak pula, majoriti GPS tidak perlu dipertikaikan lagi dan formula Sarawak untuk Sarawak telah berjaya menambat hati rakyat Sarawak.

Pertikaian, pertembungan dan keutamaan hari ini adalah kepada pengundi Melayu dan kawasan-kawasan majoriti lebih 60 peratus Melayu, yang sebenarnya akan menentukan masa depan Malaysia dan ke mana masa depan negara ini.

BERSAMBUNG

* Datuk Nizam Mahshar adalah Presiden, Ikatan Inteligentsia Membangun Malaysia (I2MAM). Pernah memimpin beberapa badan strategik dan pemikir serta arkitek kepada Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB 2030). Beliau pernah menjadi ahli Majlis Tindakan Ekonomi Negara, memimpin Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) dan beberapa gerakan rakyat dalam isu nasional.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!