AGM MPM lulus penubuhan Persatuan Renang Para Kebangsaan
PERSATUAN Renang Para Malaysia bakal ditubuhkan tidak lama lagi bagi menyelaras dan mengawal selia atlet serta hal-hal berkaitan sukan itu.
Usul penubuhannya yang diangkat oleh lapan persatuan peringkat negeri telah diluluskan pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-24 Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) pada Sabtu.
Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, walaupun idea penubuhan Persatuan Renang Para Malaysia dibantah oleh Malaysia Swimming (MS), usul itu tetap diluluskan selepas menerima 16 undi menyokong, manakala satu tidak bersetuju.
"Tahun lepas, memang MS letakkan dalam Perlembagaan menguruskan atlet para namun sebelum ini, Majlis Sukan Negara banyak bertanggungjawab kendali perenang para ini.
"Memandangkan sukan para di bawah urus setia dan bidang kuasa MS seperti termaktub dalam Perlembagaan MS Klausa 2.1 maka mereka membantah penubuhan persatuan baharu itu,” katanya ketika sidang akhbar pada Sabtu.
Beliau berkata, penubuhan persatuan itu penting kerana meskipun MS mengendali atlet para, namun Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) tidak campur tangan dalam hal-hal berkaitan perenang para.
"Secara lazimnya, setiap sukan ikut persekutuan antarabangsa masing-masing, macam MS akan ikut FINA, namun FINA tak kelola sukan renang para. Jika atlet para nak pergi bertanding memang akan melalui MPM dan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) bukan MS kerana FINA memang tidak akan endors,” katanya.
Megat D Shahriman berkata, Persatuan Renang Para Kebangsaan juga wajar ditubuhkan kerana World Para Swimming, ketika ini di bawah IPC, akan dilepaskan menjelang 2026 untuk bergerak secara sendiri menjadi persekutuan antarabangsa yang kebiasaannya disertai persatuan negara lain.
Justeru, beliau berkata, MPM akan memanjangkan usul itu kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan untuk tindakan selanjutnya sebelum penubuhan Persatuan Renang Para Kebangsaan dapat direalisasi.
Megat D Shahriman turut memaklumkan dua lagi persatuan iaitu Persatuan Lawan Pedang Kerusi Roda Malaysia dan Persatuan Teqball Malaysia menyertai MPM sebagai ahli baharu.
Katanya, penyertaan kedua-dua persatuan bermakna MPM kini mempunyai 27 ahli gabungan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!