Zii Jia kandas di separuh akhir Terbuka Indonesia

Aksi Zii Jia pada saingan separuh akhir Terbuka Indonesia 2022 di Istora Senayan, pada Sabtu. - Foto BAM
Aksi Zii Jia pada saingan separuh akhir Terbuka Indonesia 2022 di Istora Senayan, pada Sabtu. - Foto BAM
A
A
A

HASRAT jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia untuk mara ke final Terbuka Indonesia 2022 tidak kesampaian apabila tewas 21-19, 11-21, 21-23 kepada pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen pada perlawanan yang berlanjutan selama satu jam 10 minit di Istora Senayan, petang tadi.

Kekalahan Zii Jia itu sekali gus dilihat gagal menebus kekecewaannya apabila tersingkir di peringkat suku akhir pada Indonesia Masters 2022 di venue sama, minggu lalu.

Pada perlawanan berkenaan, kedua-dua pemain bermula garang dengan menyaksikan kedua-duanya saling mengejar mata pada set pertama, bagaimanapun, Zii Jia dilihat memanfaatkan segala pengalaman yang dimilikinya untuk menang 21-19.

Set kedua menyaksikan kebangkitan Axelsen yang juga juara Indonesia Masters 2022 dengan permainan lebih kemas bagi menewaskan Zii Jia, 21-11 dan mengheret perlawanan ke set penentuan.

Aksi di set penentuan bertambah sengit dengan kedua-dua pemain dilihat saling mengejar mata untuk berada pada kedudukan selesa menuju ke penghujung permainan, namun Axelsen memanfaatkan segala pengalaman yang dimilikinya bagi mencatatkan kemenangan 23-21.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!