'Kompaun Rumah Bonda ikut undang-undang, bukan atas budi bicara saya'
KUANTAN - Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, kompaun terhadap Pusat Jagaan Pertubuhan Kebajikan Rumah Bonda (Rumah Bonda) bukan atas dasar budi bicara beliau sebaliknya berlandaskan undang-undang sedia ada.
"Banyak sangat fitnah yang mengatakan saya melindungi Rumah Bonda dan sebagainya... kena faham dan ingat... kita memberikan saman itu mengikut akta, jadi akta itu menyebut kompaunnya RM5,000... bukan saya yang tentukan.
"Ia mengikut undang-undang sedia ada... itu bukan di bawah budi bicara saya, itu adalah yang termaktub di dalam akta,” katanya selepas merasmikan Program Keusahawanan Wanita Bangkit@KPWKM yang dihadiri kira-kira 250 peserta di sini pada Sabtu.
Rina berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas dakwaan beliau melindungi Rumah Bonda.
Pada Jumaat, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam satu kenyataan menafikan Rina bersubahat melindungi Rumah Bonda selain menyifatkan tuduhan itu sebagai tidak berasas serta berunsur fitnah.
KPWKM turut memaklumkan bahawa segala tindakan yang diambil oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat sejak Julai 2021 ke atas Rumah Bonda adalah berdasarkan peruntukan undang-undang.Kenyataan itu merujuk kepada hantaran di laman Instagram pada 12 Jun lepas yang mempertikai nilai kompaun penguatkuasaan ke atas Rumah Bonda hanya RM5,000 dan menuduh Rina bersubahat melindungi pusat jagaan berkenaan.
Dalam pada itu, Rina berkata, perbincangan telah dilakukan bersama Kementerian Sumber Manusia berkaitan inisiatif perlindungan sosial untuk suri rumah.
Beliau berkata, KPWKM turut menyokong penggubalan Rang Undang-Undang Keselamatan Sosial Suri Rumah dan berharap ia akan dilulus serta dilaksanakan demi kepentingan wanita.
Rabu lepas, Setiausaha Wanita Perikatan Nasional, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, kerajaan perlu mengumumkan segera pelaksanaan inisiatif perlindungan sosial suri rumah yang telah dipersetujui sebelum ini.
Mengulas program pada Sabtu, Rina berkata, ia memanfaatkan hampir 18,000 peserta secara keseluruhan selain membantu melatih wanita dalam bidang keusahawanan dan ia akan diteruskan di Perak, Pulau Pinang serta Sarawak. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!