Habib Haroon, Manuel Ott lonjak TFC ke tangga keenam Liga Super
GERGASI pantai timur, Terengganu FC (TFC) berjaya menyisihkan diri dari zon penyingkiran apabila menewaskan Kuala Lumpur (KL) City 2-0 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada Sabtu.
Tiga mata berharga skuad kendalian Nafuzi Zain dijelmakan hasil jaringan pemain import Habib Haroon pada minit ke-74 diikuti penyudah diterjemahkan Manuel Ott pada minit ke-80.
Kemenangan itu menyaksikan TFC melonjak ke tangga keenam liga dengan mengumpul sembilan mata hasil tiga kemenangan dan dua kekalahan selepas mengharungi lima perlawanan.
Sementara itu, KL City kendalian Bojan Hodak pula kekal di tangga kelima liga dengan 13 mata hasil empat kemenangan, satu seri dan lima kekalahan selepas mengharungi 10 perlawanan.
Dalam satu lagi perlawanan di Stadium Bandaraya Pulau Pinang, Penang FC di bawah kendalian Zainal Abidin Hassan gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri apabila sekadar mencatat keputusan seri ketika melayan kunjungan Petaling Jaya (PJ) City FC
The Phoenix kendalian P Maniam terlebih dulu di depan menerusi jaringan S Kumaahran pada minit ke-36 sebelum Casagrande muncul penyelamat Harimau Kumbang dengan gol penyamaan di minit ke-63.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!