Calveen Petrus idam emas Kejuaraan Gusti Lengan Dunia

Calveen Petrus
Calveen Petrus
A
A
A

ATLET gusti lengan, Calveen Petrus menyasarkan menjadi rakyat Malaysia kedua untuk merangkul pingat emas pada Kejohanan Gusti Lengan Dunia 2022 yang bakal berlangsung di Dieppe, Perancis, September ini.

Atlet berusia 30 tahun itu yang bakal membuat penampilan kedua di kejuaraan dunia berkata, mahu mengikut jejak langkah rakan senegara Joffey Jolly yang memenangi kejohanan berkenaan pada 2019 di Rumia, Poland.

Beliau berjanji untuk menampilkan aksi terbaiknya di kejohanan berkenaan, sekali gus memberi saingan sengit kepada peserta lain.

"Selepas ini akan balik kampung di Sabah dan rehat dalam dua minggu. Selepas itu akan mula jalani latihan bersungguh-sungguh di gym berdekatan dengan rumah,” katanya selepas merangkul gelaran Kejohanan Gusti Lengan Asia 2022 pada Sabtu.

Beliau muncul juara kategori senior keseluruhan (lengan kiri) dan kategori senior 105 kilogram (kg) pada hari pertama kejohanan.

Calveen berkata, beliau tidak menyangka akan memenangi kejohanan berkenaan memandangkan ini adalah penyertaan kali pertamanya.

"Saya hanya fokus untuk dapat emas bagi acara tangan kanan tetapi tidak jangka untuk dapat piala overall sebab tangan kiri bukan tangan yang kuat untuk saya,” katanya yang juga dijangka memberi saingan sengit bagi kategori tangan kanan esok.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Gusti Lengan Malaysia (MyArms), Mohd Zil Fadli Abd Halim berkata, beliau gembira kejohanan itu berjalan lancar selain mendapat sambutan menggalakkan dari negara lain.

Mohd Zil berkata, beliau berpuas hati dengan prestasi atlet negara yang menunjukkan peningkatan kualiti walaupun sudah dua tahun tidak bertanding dalam mana-mana pertandingan.

"Hari ini hari pertama kategori tangan kiri, jadi kita ada lebih kurang 125 penyertaan tangan kiri dari lapan negara sebab lebih banyak yang akan masuk tangan kanan esok. Jadi, saya menjangkakan saingan sengit bagi kategori esok,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!