Jangan hilang darah tempatan

Foto: Football Association of Malaysia, gambar kecil: Effendi Jagan
Foto: Football Association of Malaysia, gambar kecil: Effendi Jagan
A
A
A

KEGHAIRAHAN memilih pemain-pemain warisan dalam usaha memperkuatkan cabaran skuad Harimau Malaya terutamanya menjelang saingan Piala Asia 2023 diharap tidak menenggelamkan para pemain tempatan sedia ada.

Pendapat itu disuarakan Pengarah Urusan Action Football Asia (AFA), Effendi Jagan Abdullah yang berharap kehadiran para pemain warisan berkenaan tidak akan menyisihkan terus perkembangan pemain berkaliber dari negara ini.

Justeru katanya, pemilihan dalam kalangan pemain warisan ini perlu dibuat dengan teliti bagi memastikan hanya para pemain berkelayakan serta mencapai standard yang dikehendaki sahaja dipilih untuk beraksi bersama skuad negara.

“Malaysia ada ramai pemain warisan, namun kita kena pastikan pemain-pemain yang dipilih merupakan yang benar-benar berkualiti dan mencapai standard diperlukan pasukan negara.

“Kita juga perlu bersedia jika mereka menolak untuk beraksi dengan pasukan negara sebab mereka ini mungkin berpeluang untuk beraksi dengan negara di mana mereka berada ketika ini.

“Selain itu rasanya, tidak perlulah terlalu ramai pemain warisan dalam skuad Harimau Malaya, memadailah kehadiran mereka di posisi-posisi tertentu bagi menampung kelemahan-kelemahan pasukan.. namun, tumpuan utama adalah kepada pemain yang mempunyai kualiti dan mahu beraksi demi lencana di dada,” katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin pada Jumaat menegaskan badan induk bola sepak negara itu tidak menolak kemungkinan menambahkan lagi pemain warisan bagi memperkuatkan Harimau Malaya menjelang Piala Asia 2023.

Hasrat Hamidin itu timbul berikutan aksi cemerlang yang dipamerkan pemain-pemain warisan negara seperti Junior Eldstal, La'Vere Corbin-Ong, Darren Lok, Matthew Davies dan Dion Cools pada pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023, baru-baru ini.

Bagaimanapun dalam masa sama, Effendi menegaskan, pemilihan pemain-pemain warisan ini diharap tidak seharusnya 'melenyapkan' wajah-wajah Malaysia yang beraksi untuk skuad Harimau Malaya.

Malah katanya, merekalah yang sewajarnya diberikan peluang untuk beraksi mewakili negara sekiranya dalam kalangan pemain tempatan mempamerkan aksi yang lebih mantap daripada para pemain warisan ini.

“Tidak dinafikan pemain-pemain warisan ini beraksi dengan baik dan impak itu ada, tetapi bukan semua dan sebab itulah pemilihan mereka ini nanti perlu dibuat dengan betul dan dalam masa sama tidak menyisihkan pemain-pemain tempatan sedia ada.

“Lagi pun, takkanlah kita nak tengok muka-muka lain, muka Malaysia mana? Muka Melayu, Cina, India, Iban dan Kadazan tak ada nanti dalam pasukan kebangsaan kita.

“Kita boleh lihat negara-negara seperti Singapura yang sebelum ini ada pemain Afrika, tetapi akhirnya, hancur...tak ada kualiti. Jepun...dulu ada dua atau tiga pemain Brazil, tetapi tidak menyerlah dan sebab itulah mengapa negara seperti Korea Selatan, Vietnam tidak ada pemain warisan atau pemain naturalisasi,” katanya.

Sementara itu Effendi turut berharap supaya faktor usia antara yang diberikan perhatian utama dalam kriteria pemilihan pemain-pemain warisan ini.

Katanya, faktor usia dilihat banyak memainkan peranan terutamanya bagi menyediakan para pemain yang benar-benar berkelayakan dan mampu untuk beraksi bagi tempoh yang lebih lama bersama skuad negara.

“Bagi saya, pemilihan pemain-pemain 'warisan' ini juga perlu dilihat dari segi faktor usia mereka di mana kita seharusnya memiliki pemain warisan mahu pun pemain naturalisasi dalam lingkungan usia yang bersesuaian.

“Kalau sudah 34 atau 35 tahun ke atas, mungkin mereka hanya dapat main setahun sahaja, kita juga yang rugi nanti,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!