Kemenangan ke atas KL City FC cipta permulaan baik: Nafuzi

Pemain TFC, Habib Haroon (dua dari kanan) meraikan kejayaan bersama rakan sepasukan selepas menjaringkan gol ketika melayan kunjungan KL City FC dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak malam Sabtu. -Foto Bernama

A
A
A

PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain menyifatkan kejayaan menundukkan KL City FC dalam aksi Liga Super malam Sabtu sebagai permulaan baik selepas hampir dua bulan tanpa perlawanan kompetitif.

Malah jurulatih berusia 44 tahun itu turut menganggap kejayaan itu sebagai pencetus momentum positif untuk anak buahnya terus bangkit mencipta kemenangan dalam siri perlawanan akan datang.

"Setiap perlawanan Liga Super amat mencabar dan bukannya satu tugas mudah untuk menang.

"Jadi saya amat berpuas hati kerana pemain telah berjaya menghadiahkan tiga mata kepada penonton setia skuad Penyu," katanya ketika ditemui selepas perlawanan aksi Liga Super antara TFC dengan KL City FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin sejurus tamat perlawanan.

Percubaan gol Kapten TFC, Tchetche Kipre (dua dari kiri) digagalkan oleh penjaga gol KL City FC, Kevin Ray Mendoza (kanan) pada saingan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada Sabtu. - Foto Bernama

Pada perlawanan itu, TFC berjaya menundukkan skuad bimbingan Bojan Hodak, 2-0 hasil jaringan Habib Haroon dan Manuel Ott masing-masing pada minit ke-74 dan 80.

Dengan kemenangan itu, TFC melonjak ke kedudukan keenam dari tangga ke-11 Liga Super dengan sembilan mata.

Sementara itu, Hodak berkata, meskipun anak buahnya berjaya mencipta beberapa peluang mendapatkan gol, namun masih gagal diterjemahkan ke bentuk jaringan disebabkan ketumpulan jentera serangan.

"Terengganu mempunyai ramai pemain berkualiti dan mereka berbahaya. Kita berjaya menyekat pergerakan Sherman (Kpah Sherman) dan Tchetche (Kipre Tchetche), namun pemain yang tidak dijangka pula menjaringkan gol,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!