Syarikat swasta urus parkir sejak 1999 : MBSA
SHAH ALAM - Pengurusan tempat letak kereta dalam kawasan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah diuruskan oleh syarikat Suasa Efektif sejak tahun 1999 lagi dan tiada kaitan dengan kenaikan kadar baharu caj tempat letak kereta yang ditetapkan bermula 1 April.
Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, selain MBSA, terdapat empat lagi PBT di Selangor yang menggunakan khidmat syarikat berkenaan bagi menguruskan petak-petak parkir.
"Suasa Efektif menyewa tempat letak kereta di kawasan MBSA di mana bayaran sewa berkenaan akan digunakan semula oleh MBSA untuk diberikan balik kepada masyarakat melalui perkhidmatan perbandaran seperti kutipan sampah, menyediakan infrastruktur seperti dewan, memperbaiki jalan, lampu dan sebagainya," katanya.
Jelas beliau, kenaikan kadar caj oleh pihak MBSA ini dilaksanakan selepas 21 tahun menggunakan kadar caj sama.
" Kenaikan kadar caj tempat kereta ini adalah wajar kerana kadar 40 sen sejam digunapakai sejak tahun 1998 Menurut Perenggan 56 Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Tempat Letak Kereta)(Majlis Bandaraya Shah Alam) memperuntukkan bahawa pihak majlis boleh menambah, meminda atau membatalkan kesemua atau mana-mana bahagian atau mana-mana jadual sekiranya majlis berpendapat adalah perlu untuk berbuat demikian.
"Bagaimanapun, kadar ini masih merupakan kadar terendah berbanding PBT yang lain di Selangor dan Malaysia," katanya.
Terdahulu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menerusi status Facebook hari ini mendakwa kenaikan kadar caj tempat letak kereta di MBSA sehingga 50 peratus susulan penyerahan pengurusan parkir kepada kepada sebuah syarikat swasta minggu ini.
Beliau dengan sinis mempertikaikan adakah itu cara PH membela nasib warga Shah Alam.
"Keseluruhan 70,000 lot parkir milik MBSA telah diserahkan kepada sebuah syarikat swasta minggu ini. Dengan itu, semua caj parkir di Shah Alam akan dinaikkan 50 peratus bermula hari Isnin (1 April 2019).
"Tak kira nak letak kereta setengah jam ke atau nak beli pas bulanan. Semua naik 50 peratus. Menteri HARAPAN Coin tahu atau tidak? Adakah ini antara usaha kerajaan PH untuk mengurangkan kos sara hidup atau hadiah kerana mengundi PH di sana?," tulisnya.
MBSA sebelum ini memaklumkan mulai 1 April 2019 kenaikan kadar caj tempat letak kereta di bawah kawasan pentadbiran MBSA akan dilaksanakan melibatkan kenaikan dari 40 sen kepada 60 sen sejam serta caj sebulan daripada RM60 kepada RM90 sebulan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!