Mohd Rashid nafi keluar Bersatu

Datuk Mohd Rashid Hasnon
Datuk Mohd Rashid Hasnon
A
A
A

JOHOR BAHRU - Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Mohd Rashid Hasnon menafikan dakwaan beliau dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Perikatan Nasional (PN) menyifatkan dakwaan itu sebagai propaganda murahan untuk melemahkan parti.

Menurutnya, beberapa jam sebelum berita palsu berkenaan tersebar, beliau ada bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu program dan sidang media di Johor.

"Berhentilah mengadu domba dengan propaganda murahan untuk melemahkan Bersatu.Terima kasih di atas respon dan keyakinan Tan Sri Muhyiddin berkaitan isu ini.

"Serangan berita palsu seperti ini jelas menunjukkan ada pihak tertentu yang ketandusan isu cuba untuk memberikan tekanan dengan memberi persepsi negatif yang kononnya boleh melemahkan Bersatu," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Baru-baru ini, beberapa nama pemimpin Bersatu antaranya Mohd Rashid dan Mohamed Azmin didakwa akan meninggalkan parti berkenaan selepas Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamarudin berbuat demikian bulan lalu.

Mohd Rashid menegaskan, sejak hari pertama menyertai Bersatu, beliau cukup yakin dengan masa depan parti dan akan terus bersama-sama dengan saf kepimpinan Bersatu dalam menyatupadukan rakyat dan membina kekuatan dalam merealisasikan matlamat parti tersebut.

"Dua tahun telah berlalu, kita diuji dengan pandemik Covid-19 dan ketidakstabilan politik tanah air. Alhamdulillah sejak awal menyertai Bersatu, saya mempunyai keyakinan yang tinggi ke atas komitmen parti dalam usaha menentang rasuah dan membela rakyat.

"Ini dibuktikan oleh kepimpinan utama Bersatu di era Muhyiddin memikul tanggungjawab sebagai Perdana Menteri kelapan sepanjang krisis melanda negara," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!