PM UK bimbang masyarakat dunia mula lesu isu Ukraine
MOSCOW - Perdana Menteri United Kingdom (UK), Boris Johnson pada Sabtu berkata lawatan yang tidak dirancang ke Kyiv pada Jumaat lepas adalah demi menzahirkan sokongan London terhadap Ukraine di saat negara-negara lain mula berasa lesu dengan isu itu, lapor Sputnik.
"Sangat penting untuk melawat Ukraine khususnya di saat kritikal ini.
"Kami bimbang masyarakat dunia sudah mula lesu akan krisis yang melanda Ukraine,” Johnson dipetik sebagai berkata dalam siaran televisyen Sky News dari lapangan terbang.
Perdana Menteri UK itu berkunjung ke Kiev dan mengadakan pertemuan dengan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy bagi rundingan bantuan ketenteraan.
Sehari sebelumnya, pemimpin Jerman, Perancis dan Itali melawat Ukraine dan bertemu dengan Zelenskyy.
Ramai berpendapat kunjungan itu sebagai usaha meyakinkan Kiev agar mengadakan rundingan dengan Moscow.
Ketiga-tiga pemimpin Eropah mengesahkan bahawa Ukraine diberikan status calon rasmi untuk menganggotai Kesatuan Eropah (EU), dan Suruhanjaya Eropah mengeluarkan saranan sama pada Jumaat. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!