Johor catat 6,987 kes HFMD

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Johor mencatatkan 6,987 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) pada tahun ini setakat Sabtu.

Exco Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, jumlah tersebut meningkat berbanding tempoh sama pada tahun lalu iaitu hanya 104 kes.

"Bagaimanapun situasi kes dilihat masih terkawal di negeri ini.

"Peningkatan jumlah kes ini memang dijangka berlaku pada tahun ini berikutan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) mengekang Covid-19," katanya menjawab soalan lisan Datuk Ramlee Bohani (BN-Kempas) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar di sini pada Ahad.

Ramlee bertanya mengenai peningkatan kes HFMD sama ada selari dengan peningkatan yang sedang berlaku di negara ini.

Tian Soon berkata, kebanyakan kes HFMD berlaku dalam kalangan kanak-kanak berusia hingga enam tahun iaitu sebanyak 6,048 kes iaitu 86.6 peratus.

Katanya, jumlah kes itu turut membabitkan kumpulan kanak-kanak berumur tujuh hingga 12 tahun iaitu 816 kes (11.7 peratus) dan selebihnya adalah berusia lebih daripada 13 tahun.

Sehingga kini katanya, sebanyak lima wabak aktif HFMD dilaporkan di negeri ini membabitkan Kota Tinggi dan Johor Bahru iaitu masing-masing dua wabak dan satu wabak di Batu Pahat.

Jumlah itu katanya, berbeza dengan sebanyak 28 wabak aktif HFMD dilaporkan pada minggu Epid sebelum ini.

"Lokasi penularan wabak HFMD di negeri ini sehingga semalam adalah di 100 lokasi membabitkan taska (42 wabak) diikuti rumah persendirian (22 wabak), tabika (13 wabak), tadika (sembilan wabak), prasekolah (tujuh wabak), sekolah rendah (tiga wabak), pusat jagaan harian (dua wabak) dan lain-lain (dua wabak)," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!