50 peratus hutan paya bakau negara sudah diteroka
SHAH ALAM - Kira-kira 50 peratus hutan paya bakau negara sudah diterokai sejak sebelum kemerdekaan.
Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Wan Kamal Mujani berkata, pada masa ini negara hanya mempunyai 620,000 hektar.
"Dahulu (hutan paya bakau) dua kali ganda, tetapi itu kiraan termasuk sebelum kemerdekaan.
"Maksudnya selama ini saintis anggarkan kehilangan keluasan hutan bakau hampir 50 peratus," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Inisiatif Pemuliharaan Hutan Bakau Yayasan CIMB - UKM di Taman Alam Kuala Selangor di sini pada Ahad.
Wan Kamal berkata, bagi menangani hutan paya bakau terus dicerobohi, pelbagai usaha perlu dilakukan termasuk melindungi dan mengekalkan kawasan sedia ada.
"Kita perlu kenal pasti kawasan boleh dipelihara dan seterusnya membantu dengan kaedah masing-masing," jelasnya.
Beliau memberitahu, projek pembangunan terutama sektor pelancongan perlu memastikan ekosistem hutan paya bakau kekal terpelihara demi kelestarian alam sekitar pada masa depan.
Ujar beliau, sebarang projek yang ingin dilaksanakan di sesuatu kawasan itu perlu mengimbangi keperluan memelihara alam semula jadi dengan keperluan pembangunan.
Justeru, katanya, semua pihak seharusnya berganding bahu dan mengambil kira pandangan pihak berwajib seperti Jabatan Alam Sekitar dan universiti bagi melihat kesesuaian pembangunan di kawasan yang dirancang.
"Dalam kita ingin merancakkan ekonomi, pada masa sama juga kita ingin memulihara dan menjaga ekosistem," katanya.
Wan Kamal berkata, semua pihak termasuk yang merancang pembangunan perlu mengamalkan konsep 'menang-menang' dalam usaha memulihara alam sekitar.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan CIMB, Mohamed Rafe Mohamad Haneef berkata, program dengan kerjasama yayasan dan UKM itu adalah yang pertama di bawah pemeliharaan dan kelestarian alam sekitar.
Katanya, sebanyak RM380,000 diperuntukkan kepada UKM yang merupakan pakar yang akan menjalankan kajian pembangunan di kawasan itu untuk menanam anak-anak pokok bakau.
"Dengan projek ini, kami membawa sukarelawan daripada keluarga CIMB seramai 100 orang hari ini untuk menanam 700 anak pokok bakau," jelasnya.
Ujar beliau, inisiatif yang dilaksanakan itu sebagai usaha menjaga hutan bakau ini membolehkan penyerapan karbon dioksida oleh hutan bakau dan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan menghadapi perubahan iklim di Malaysia.
"Kami memulakan projek ini sejak dua tahun lalu sebelum pandemik Covid-19 dengan UKM, kemudian dalam sekatan pergerakan, kami tidak dapat menjalankan projek menanam pokok," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!