Badal haji: Hati-hati, pastikan siapa pelaksananya

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

MAKKAH - Berhati-hati dengan taktik tawaran pakej badal haji terutama yang tidak menyatakan secara jelas siapa pelaksananya.

Bukan itu sahaja, pakej harga amat mencurigakan dan tidak berasas sedangkan kerajaan Arab Saudi telah menetapkan kos permit haji pada kadar tertentu termasuk untuk rakyat tempatan.

Pengarah Operasi Bimbingan Haji, Tengku Aziz Raja Abdullah berkata, lambakan iklan yang mempromosikan pakej badal haji pada harga tidak munasabah perlu diberi perhatian serius kerana ia seolah-olah tindakan sengaja mengaut keuntungan.

Menurutnya, Lembaga Tabung Haji (TH) yang memainkan peranan penting di Tanah Suci pun tidak melaksanakan badal haji tahun ini kerana menyedari pelbagai peraturan yang ditetapkan Arab Saudi.

"Kalau tengok dari senario di Malaysia, ada yang mengambil upah badal haji pada pakej serendah RM500, RM1,500 bahkan ada yang menawarkan RM2,500 hingga RM3,000.

"Persoalannya ialah TH sendiri pun tidak laksanakan badal haji pada masa sekarang kerana peraturan kerajaan Arab Saudi yang tidak membenarkan kita untuk laksana badal haji atau pungut duit untuk badal haji,” katanya kepada pemberita.

Tengku Aziz berkata, sesetengah pakej menggunakan nama pelajar Malaysia yang tinggal di Madinah dan Makkah, sedangkan pelajar di situ hanya tinggal kira-kira 15 orang, malah mereka sendiri telah menyatakan ketidaksanggupan mengambil badal haji kerana kos yang mahal.

Tambahnya, Arab Saudi menetapkan kos permit kira-kira SR10,000 dengan penguatkuasaan ketat dan disebabkan itu adalah mustahil sekiranya pelaksana badal haji mengambil upah terlalu murah.

"Apabila tiba di Tanah Suci, saya bertanya kawan-kawan berkaitan badal haji dan kebanyakan mereka tidak sanggup dengan bayaran RM3,000 sebab untuk pergi haji pun penguat kuasa Arab Saudi akan teliti permit atau surat kebenaran..pakej tersebut harganya lebih kurang SR10,000 atau lebih.

"Jadi mana mungkin dia nak ambil badal haji sedangkan dia kena bayar SR10,000...memanglah tidak berbaloi untuk mereka laksana badal haji. Mereka pun berhati-hati juga untuk laksana badal haji. Jadi permasalahan timbul apabila ada iklan sampai ada harga lebih rendah daripada itu.

"Sesetengah mendakwa upah akan diberi kepada pelajar di Tanah Suci ini sedangkan kalau pelajar itu hendak mengerjakan haji, mereka perlu ada permit untuk pergi, jadi berapa orang kah pelajar kita yang dapat permit untuk laksana ibadah haji,” katanya.

Menurut Tengku Aziz, badal haji bermaksud melaksanakan haji bagi orang lain yang telah meninggal dunia ataupun tidak sempat menunaikannya dan berkemampuan, malah dibolehkan juga mengerjakan badal haji untuk mereka yang tidak ada harapan untuk sembuh daripada penyakit.

"Badal itu dibolehkan dalam Islam. Dalam hukum fiqh pun ada..oleh kerana kita melaksanakan untuk orang-orang tersebut maka dibolehkan untuk individu itu sendiri atau waris beri habuan sedikit sebagai perbelanjaan mereka untuk mengerjakan ibadah haji tersebut.

"Saya berharap bagi mereka yang memungut badal haji janganlah menipu, janganlah menggoda dan buat perkara yang tidak benar, duit yang kita kumpul, kita dapat dosa, jangan guna agama untuk dunia kita, takutlah pada Allah,” katanya.

Pihak yang berminat dengan badal haji juga disaran memainkan peranan dengan mengenal pasti identiti pelaksananya dan tidak hanya membayar tanpa usul periksa kerana terdapat syarat tertentu dan bukannya boleh dilakukan oleh sesiapa jua.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan janji manis akan menerima sijil, air zam zam dan sejadah sebagai hadiah penyertaan badal haji kerana ia boleh dibeli di mana-mana sahaja dan apatah lagi tiada pengesahan jelas ia dapat dilakukan pada musim haji kali ini.

"Bagi mereka yang memberi, pastikan betul-betul bagaimana mereka boleh laksanakan kerana kita di Tanah Suci pun memang kalau situasi sekarang susah hendak laksanakan badal haji dan mereka sendiri (penduduk dan pelajar) tidak sanggup dengan kadar permit yang ditetapkan Arab Saudi,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!