Penghantar makanan mengaku salah hantar bahan lucah
JOHOR BAHRU - Seorang penghantar makanan didenda RM10,000 selepas mengaku salah di Mahkamah Sesyen di sini pada Ahad, atas dua pertuduhan menghantar dan memulakan komunikasi bahan lucah menerusi aplikasi media sosial, dua tahun lalu.
Tertuduh, Muhammad Khair Maani, 25 membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.
Mengikut kedua-dua pertuduhan, Muhammad Khair didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi media sosial menghantar gambar dan video lucah sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Blok C, Taman Ungku Tun Aminah di sini, pada jam 8.50 pagi 25 Januari 2020.
Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Nur Nazhzilah Mohammad Hashim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sebelum menjatuhkan hukuman, Hakim Datuk Che Wan Zaidi meminta semua yang berada di dalam bilik pendakwaan keluar kecuali tertuduh dan pihak pendakwaan bagi memaparkan video dan gambar kejadian untuk tujuan pengesahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!