Remaja lelaki hilang ditemui selamat
SEPANG - Seorang remaja yang dilaporkan hilang pada Khamis lalu ditemukan dalam keadaan selamat pada pagi Ahad.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, remaja berumur 16 tahun itu ditemui di Jalan Seraya, Kampung Melayu Ampang kira-kira jam 3.05 pagi.
"Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang pada 16 Jun lalu setelah keluar bersendirian dari rumah ibu bapanya di Bandar Bukit Puchong.
"Mangsa bagaimanapun telah ditemukan dalam keadaan selamat oleh anggota polis yang menjalankan rondaan di lokasi mangsa ditemui dan punca kejadian masih dalam siasatan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Pada Khamis, seorang remaja lelaki berumur 16 tahun dilaporkan hilang setelah keluar dari rumah ibu bapanya di Bandar Bukit Puchong.
Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian, mangsa dilihat berjalan seorang diri keluar daripada kawasan rumah ibu bapanya kira-kira jam 3.57 pagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!