JKM, rakan strategik bantu penduduk Pulau Tioman
ROMPIN - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang bersama lima rakan strategik membantu penduduk Pulau Tioman bagi menghadapi monsun timur laut yang dijangka berlaku penghujung tahun ini.
Pengarah JKM Pahang, Zulkhairi Zainol Abidin berkata, rakan strategik yang dibentuk itu akan membantu mengikut bidang kuasa masing-masing dalam memastikan penduduk Pulau Tioman tidak terputus bekalan makanan termasuk penyediaan bekalan makanan, bantuan menyelamat, pengagihan dan logistik.
“Setiap kali musim monsun timur laut semua aktiviti di laut tidak boleh dilakukan berikutan laut bergelora dan semua penduduk di pulau peranginan itu memerlukan bantuan berbentuk makanan dalam tempoh masa tertentu.
“Jadi, kita bentuk satu kerjasama erat bagi membantu penduduk di Pulau Tioman sekali gus menghilang kesukaran mereka untuk mendapatkan sumber makanan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Dalam pada itu, lima rakan strategik JKM membabitkan Majlis Ugama Islam Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Holdings Sdn Bhd, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pejabat Daerah Rompin dan Pusat Kutipan Zakat (PKZ).
"Agensi terbabit mempunyai peranan dan tugas masing-masing, sebagai contoh MUIP Holdings yang memiliki Pasaraya Darul Makmur (PDM) akan menyediakan bekalan yang telah disenaraikan," ujarnya.
Zulkhairi menambah, tahun lalu kerajaan Pahang menyediakan 31 tan bekalan makanan yang diagihkan ke lima Pangkalan Hadapan di Pulau Tioman.
Katanya, agihan bekalan itu membabitkan Kampung Mukut, Kampung Salang, Kampung Juara, Kampung Tekek dan Kampung Genting.
"Bantuan makanan yang disediakan akan diberikan kepada setiap ketua isi rumah (KIR) dan antara barangan bantuan disediakan seperti beras, biskut, gula, tepung, minyak masak, sardin dan kopi yang mampu bertahan untuk kira-kira 10 hari," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!