Kerajaan Selangor sasar 4,000 unit rumah smart sewa menjelang 2025
AMPANG - Kerajaan Selangor menyasar untuk menyediakan sehingga 4,000 unit rumah di bawah Inisiatif Skim Smart Sewa dalam tempoh tiga tahun dari sekarang.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, program tersebut dilaksanakan sejak 2018 dengan bermula 400 unit rumah termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang disewakan dan kini meningkat kepada 1,000 unit.
Menurutnya, program mendapat maklum balas positif daripada rakyat Selangor dan sebanyak 99 peratus bayaran balik diterima di bawah inisiatif itu.
"Selepas lima tahun sebanyak 30 peratus bayaran sewa ini akan dipulangkan penyewa.
"Selain itu, bayaran sewa itu juga akan dimasukkan dalam kos penyelenggaran yang sebelum ini membebankan Badan Pengurusan Bersama (JMB)," katanya pada program Jelajah Selangor Penyayang di Padang Taman Kosas di sini pada Ahad.
Tambahnya, penyewa Smart Sewa menerima manfaat morotorium selama dua bulan selain sumbangan bakul makanan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.
Hadir pada program itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Haris Kasim; Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail ; Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB), Rahana Abdullah.
Pada program itu, Amirudin menyaksikan penyerahan 2,103 unit Rumah Idaman Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor secara percuma kepada kerajaan Selangor.
Simbolik penyerahan disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MBI Selangor, Norita Mohd Sidek kepada Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS), Datuk Dr Juhari Ahmad.
Skim Smart Sewa menawarkan tempoh penyewaan minimum selama dua tahun dan maksimum selama lima tahun kepada kepada mereka yang menetap atau bekerja di Selangor.
Syarat lain terbuka kepada bujang berusia 18 tahun ke atas atau telah bekerja dengan pendapatan isi rumah tidak melebihi RM5,000 sebulan bagi sewaan rumah kos rendah dan tidak lebih RM15,000 bagi rumah kos sederhana atau sederhana rendah.
Borang permohonan di muat turun dibuat melalui http://phssb.com/borang/ atau di pejabat Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn Bhd Tingkat 5, Podium Utara,Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam dan sebarang pertanyaan boleh menghubungi 03-5102 9612.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!