MCA bincang secara tertutup agihan kerusi PRU15: Ka Siong

Ka Siong
Ka Siong
A
A
A

ISKANDAR PUTERI- MCA memilih untuk mengadakan rundingan secara tertutup bersama pimpinan Barisan Nasional (BN) dan rakan komponen parti berhubung agihan jumlah kerusi bagi parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, partinya akan terus bekerja keras bagi memastikan kemenangan mutlak kepada BN.

"Yang itu (agihan kerusi) biar dibincangkan mengikut ketetapan yang telah dipersetujui, maksudnya kita akan terus berbincang, tetapi kita tidak akan beritahu bila kita bincang, apa yang kita bincang dan ke mana arah itu. Itu perlu dimuktamadkan sebelum kita hadapi PRU15.

"Ini perkara biasa yang perlu dihadapi setiap kali menjelang pilihan raya umum," katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Perhubungan MCA Johor di sebuah hotel di sini pada Ahad.

Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam berkata, MCA menganggap semua kerusi Parlimen penting untuk diberikan tumpuan bagi mencapai kemenangan besar BN pada PRU15.

"Soal kerusi mana yang menjadi tumpuan, saya boleh katakan semua jadi tumpuan, sebab itu saya kata kerusi ditandingi calon MCA atau sebaliknya tiada bezanya, kita kena letak ia sebagai keutamaan untuk BN menang pada PRU15.

"PRU15 ini beza sedikit sebab tiada kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ditandingkan. Walaupun tidak bertanding di DUN tetapi kita perlu kerja lebih kuat untuk pastikan kemenangan mutlak di Parlimen kelak.

"Sebagai sebuah parti dalam BN, kita akan merapatkan saf sesama kita, kita tidak akan bincangkan apa juga perkara secara terbuka, yang penting kita mempunyai tindakan bersama dan buat yang terbaik untuk rakyat," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!