Buang sampah, dapat duit
KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperkenalkan Recycling Reverse Vending Machine (RRVM) yang menawarkan ganjaran lima sen bagi setiap barangan kitar semula dibuang ke dalam mesin automatik tersebut.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata, langkah itu sebagai menggalakkan amalan kitar semula selain ke arah Kuala Lumpur bersih dan bebas daripada sampah.
Sebagai permulaan, katanya, mesin tersebut akan diletakkan di perhentian bas berhampiran Menara DBKL 2 sebelum diperluaskan ke kawasan tumpuan lain termasuk Dataran Merdeka dan Pintasan Saloma.
"Jenis barang kitar semula yang boleh dimasukkan dalam mesin RRVM adalah botol plastik, kertas dan tin aluminium.
"Mesin RRVM ini ibarat tempat membeli sampah. Apabila sampah dibuang, mesin tersebut akan memberikan ganjaran lima sen bagi setiap satu barangan. Wang tersebut akan dimasukkan ke akaun bank melalui QRPay," katanya pada Majlis Pelancaran mesin RRVM di sini pada Ahad.
Katanya, selain menjaga kebersihan ibu kota, ia juga membuka peluang jana pendapatan sampingan kepada golongan memerlukan termasuk gelandangan.
" Manfaat mesin ini kepada semua tapi jika ada sesiapa yang merasakan imbuhan yang ditawarkan berbaloi maka mereka boleh membantu mencari botol untuk dimasukkan ke mesin ini dan dapatlah tambah pendapatan.
"Setiap mesin mempunyai tong 220 liter dan ini merupakan projek perintis. Jika dapat sambutan dalam kalangan pengguna mesin ini akan diperluaskan kegunaan ke zon antiliter di ibu kota," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!