Netanyahu 'besar kepala'

Kebakaran dan asap tebal di beberapa bangunan di Bandar Gaza ketika Israel lancarkan serangan udara pada malam Isnin lalu. - Foto: AFP
Kebakaran dan asap tebal di beberapa bangunan di Bandar Gaza ketika Israel lancarkan serangan udara pada malam Isnin lalu. - Foto: AFP
A
A
A

TEL AVIV - ISRAEL. Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu dengan angkuh menyatakan Tel Aviv bersedia memperluaskan kempen ketenteraan ke atas Genting Gaza selepas pertempuran tercetus di wilayah sempadan.

"Semua penduduk Israel perlu tahu jika kempen komprehensif diperlukan, kami akan menggunakannya serta-merta," katanya selepas bertemu dengan beberapa komander Israel.

Ugutan itu dikeluarkan selepas pertempuran sengit yang berlaku selama dua malam berturut-turut sejak Isnin lalu yang turut mencederakan beberapa orang awam termasuk penduduk Palestin.

Sumber penduduk Palestin di Genting Gaza memaklumkan serangan udara dilancarkan Israel di Rafah telah menyebabkan beberapa kediaman dan rangkaian elektrik musnah.

Bedilan roket dari wilayah Gaza telah menjadi cabaran keselamatan utama kepada Netanyahu menjelang Pilihan Raya Israel pada 9 April depan memandangkan imejnya kini tercalar akibat tuduhan rasuah selain berdepan persaingan besar daripada gabungan parti pimpinan seorang bekas jeneral.

Netanyahu dilihat mengambil peluang daripada sokongan padu diberikan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mengiktiraf Bukit Golan sebagai wilayah kedaulatan Israel pada awal minggu lalu untuk memberi amaran tersebut kepada Genting Gaza.

Difahamkan, tentera Israel telah menempatkan meriam dan kereta kebal di sepanjang zon penampan dengan Gaza.

Sementara itu, Penyelaras Khas PBB untuk Proses Damai Timur Tengah telah menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan keganasan di wilayah itu.

Artikel Berkaitan:

"Saya khuatir kita mungkin akan berdepan satu lagi keganasan yang berbahaya di Gaza dengan akibat yang boleh menjadi bencana. Konflik selama dua hari itu jelas menunjukkan kita seperti berada di ambang perang sekali lagi," kata Nickolay Mladenov kepada Majlis Keselamatan PBB.

Dalam perkembangan berkaitan, penganjur di Gaza mengumumkan rancangan protes mega pada esok untuk meraikan ulang tahun pertama demonstrasi mingguan yang menyaksikan lebih 260 penduduk Palestin terkorban akibat tindakan kekerasan rejim Zionis. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!