Remaja OKU hilang sejak Selasa
Muhammad Haikal Ahmad,17, yang mengalami masalah pembelajaran, masih belum ditemui sehingga petang tadi.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Yusof Unis berkata, pada hari kejadian, remaja itu disuruh oleh ayahnya untuk bersiap pergi ke kelas mengaji kira-kira jam lima petang.
"Haikal dipercayai sedikit memberontak dan terus keluar dari rumah. Pada awalnya, ayahnya tidak mengesyaki apa-apa sehingga dimaklumkan oleh orang kampung melihat anaknya masuk ke dalam ladang sawit berhampiran jambatan kampung berkenaan.
"Ayah remaja itu bersama penduduk mencarinya namun tidak berjaya," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian.
Katanya, ayah remaja itu membuat laporan polis pada keesokan hari selepas Muhammad Haikal masih belum pulang dan gagal ditemui.
Yusof berkata, kejadian itu merupakan kali kedua berlaku dan usaha mencari dan menyelamat (SAR) remaja berkenaan yang juga anak bongsu daripada dua beradik sedang giat dijalankan oleh pelbagai agensi berkaitan termasuk penduduk kampung.
"Pihak K9 juga telah dipanggil untuk mengesan remaja itu dalam kawasan hutan namun masih gagal menjejakinya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!