Maritim Malaysia tahan bot kargo, dua lelaki warga asing

Sebuah bot kargo ditahan kira-kira 0.3 batu nautika tenggara Pulau Ketam pada Ahad.
Sebuah bot kargo ditahan kira-kira 0.3 batu nautika tenggara Pulau Ketam pada Ahad.
A
A
A

PELABUHAN KLANG - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor menahan sebuah bot kargo yang dikendalikan dua lelaki warga Indonesia, kira-kira 0.3 batu nautika tenggara Pulau Ketam pada Ahad.

Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim V Siva Kumar berkata, pihaknya mengesan sebuah bot kargo mencurigakan semasa rondaan rutin di sekitar perairan Pulau Ketam pada jam 10.45 pagi.

"Pemeriksaan mendapati bot kargo itu dikendalikan dua lelaki warga Indonesia yang juga kru dan tekong bot berusia 35 tahun.

"Pemeriksaan lanjut mendapati mereka tiada sebarang dokumen pengenalan diri yang sah," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Siva Kumar berkata, bot dan dua lelaki yang ditahan itu dibawa ke Jeti Polis Marin Pulau Indah untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan dokumen perjalanan yang sah," ujarnya.

Beliau berkata, Maritim Malaysia memandang serius terhadap operasi penguatkuasaan di laut dan akan mengambil tindakan tegas kepada individu yang melakukan aktiviti jenayah di perairan negara.

"Sebarang aduan dan maklumat mengenai kegiatan jenayah maritim serta kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Selangor di talian 03-31760627 atau MERS 999 untuk tindakan segera," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!