Siasatan terhadap hakim tak perlu diheboh dalam media: PM

Ismail Sabri yang juga Ketua Umno Bahagian Bera bercakap ketika sidang pada Program Ramah Mesra Petugas Jalinan Rakyat (JR) Barisan Nasional Bersama Ketua UMNO Bahagian Bera pada Ahad. - Foto Bernama
Ismail Sabri yang juga Ketua Umno Bahagian Bera bercakap ketika sidang pada Program Ramah Mesra Petugas Jalinan Rakyat (JR) Barisan Nasional Bersama Ketua UMNO Bahagian Bera pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

BERA - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata siasatan yang dijalankan terhadap mana-mana hakim tidak perlu dihebohkan dalam media bagi menjamin dan menjaga institusi kehakiman supaya ia sentiasa dihormati.

Beliau berkata, setiap individu di Malaysia tidak mengatasi undang-undang dan pihak berkuasa boleh menjalankan siasatan jika terdapat dakwaan berlaku ketidakpatuhan atau perlanggaran undang-undang.

Ismail Sabri berkata, siasatan terhadap mana-mana individu termasuk hakim boleh dilakukan oleh agensi berkaitan berdasarkan bidang kuasa yang diperuntuk seperti rasuah di bawah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia atau Polis Diraja Malaysia jika melibatkan kesalahan jenayah.

"Tak perlulah mereka (agensi penguatkuasaan) mengumumkan siapa yang terlibat... diuar-uarkan dalam media tentang siasatan.

"Saya tidak nampak salah untuk menyiasat hakim yang melakukan jenayah, jika ada. Kita tidak mengatakan ada berlaku jenayah kerana ini baru siasatan tetapi caranya tidak perlu heboh di media. Tak perlu sebut nama mereka yang baru disiasat dan mungkin itu yang dipersoal.

"Tetapi tak boleh persoalkan juga agensi yang menyiasat individu-individu dalam negara ini walaupun beliau hakim atau sebagainya," kata beliau tanpa menyebut secara spesifik nama individu atau agensi berkaitan.

Beliau mengulas tindakan Majlis Peguam mengadakan Perhimpunan Untuk Kebebasan Badan Kehakiman di Kuala Lumpur pada Jumaat lepas.

Ahli Parlimen Bera itu berpandangan, tindakan Majlis Peguam mungkin disebabkan cara siasatan yang dilaksanakan oleh agensi berkaitan.

Ismail Sabri berkata, demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Perjumpaan Khas dan Ramah Mesra Bersama Petugas Jalinan Rakyat (JR) Parlimen Bera di Kompleks Rakan Muda Bera pada Ahad.

Perdana Menteri turut mengulangi pendirian kerajaan yang menghormati dan berpegang kepada prinsip pengasingan kuasa dengan badan kehakiman diberi kebebasan untuk menjalankan perbicaraan serta membuat keputusan tanpa campur tangan mana-mana pihak.

Menyentuh cadangan menguatkuasakan Akta Pendanaan Politik, Ismail Sabri berkata, ia masih berjalan dan Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang serta Jabatan Peguam Negara) telah diarah melakukan kajian menyeluruh untuk dibentang kepada Kabinet sebelum dibawa ke Parlimen.

Mengulas program pada Ahad, Naib Presiden UMNO itu sekali lagi mengingatkan jentera Barisan Nasional (BN) agar siap siaga menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi mengelakkan kerja di saat-saat akhir.

"Kita perlu bersedia kerana paling lewat, PRU15 perlu diadakan dalam tempoh setahun dari sekarang dan tempoh itu tidak lama.

"Itu jika ia diadakan pada Julai namun ia juga mungkin dan boleh diadakan lebih awal dari tarikh tersebut," katanya.

Beliau turut menzahirkan rasa bangga dengan jentera parti komponen BN di Parlimen Bera kerana dapat bekerjasama serta sepakat memulakan gerak kerja seperti petugas JR yang turut membabitkan sayap wanita daripada UMNO, MCA dan MIC. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!