'Usain Bolt Malaysia' ditawar pengajian diploma, biasiswa di UPSI
PELARI pecut muda negara, Muhammad Azeem Fahmi pada Ahad ditawarkan mengikuti program pengajian diploma dan biasiswa di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Pengarah Akademik UPSI, Prof Madya Dr Abdul Rahim Razalli berkata, tawaran tersebut bagi mengiktiraf kecemerlangan akademik dan sukan oleh atlet olahraga itu yang memperoleh keputusan 6A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini.
"Tawaran pengajian diploma adalah terbuka mengikut minat Muhamamd Azeem," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Terdahulu, Abdul Rahim menyerahkan surat tawaran kepada bapa Muhammad Azeem, Mohd Fahmi Tajuid di kediamannya di Teluk Intan pada Ahad.
Dalam pertemuan itu, Mohd Fahmi memaklumkan pihaknya menyambut gembira hasrat UPSI serta akan mempertimbangkan tawaran selepas berbincang dengan anaknya.
Atlet berusia 18 tahun yang mendapat jolokan 'Usain Bolt Malaysia' memperbaharui rekod peribadi dalam acara 100 meter (m) dengan mencatat masa 10.28 saat (s) pada Kejohanan Olahraga Terbuka Perak 2022 yang berlangsung di Stadium Perak, pada Sabtu.
Catatan itu memperbaharui rekod peribadi 100m berbanding 10.37s yang dicatat sebelum ini sewaktu menyertai Kejohanan Kuala Lumpur Allcomers pada 26 Mac lepas. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!