Red Giants ‘ratah’ Sarawak United
SELANGOR FC meraih tiga mata berharga apabila ‘meratah’ Sarawak United 7-0 dalam saingan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam tadi.
Kemenangan itu sekali gus menyaksikan skuad Red Giants itu melonjak ke tangga keempat dan berkongsi mata dengan Kedah Darul Aman FC (KDAFC), namun memiliki kelebihan jaringan.
Selangor FC bermula garang sebaik wisel permulaan dengan melancarkan asakan-asakan berbahaya ke pintu gol Sarawak United dalam usaha membuka jaringan.
Asakan-asakan berkenaan akhirnya menyaksikan Brendan Gan memanfaatkan peluang di depan pintu gol pelawat bagi menjaringkan gol sulung Selangor FC pada minit ke-7.
Gol itu dilihat semakin menyemarakkan semangat kesebelasan skuad Merah Kuning itu untuk terus mengasak dan hasilnya, pemain import, Hyuri Henrique de Oliveira Costa menanduk masuk gol kedua pada minit ke-23.
Skuad kendalian Michael Feichtenbeiner itu dilihat mendominasi perlawanan selepas itu dan kali ini giliran seorang lagi pemain import, Herlison Caion De Souza Ferreira untuk menjaringkan gol ketiga pada minit ke-45.
Bersambung babak kedua, Selangor FC dilihat semakin rancak mengasak ke pintu gol Sarawak United dalam usaha menambah jaringan.
Usaha mereka berhasil, apabila pemain sayap, Mohd Norhakim Hassan berjaya melepasi kawalan pertahanan termasuk penjaga gol Sarawak United, Sharbinee Alawee untuk menolak masuk gol keempat perlawanan pada minit ke-50.
Biarpun dilihat selesa mendahului empat gol, namun jentera serangan Selangor FC dilihat terus ‘bernafsu’ untuk mengasak ke gawang lawan bagi menambah jaringan.
Asakan-asakan berkenaan kemudiannya berjaya menghasilkan gol kelima apabila Herlison Caion memanfaatkan peluang di depan pintu gol pelawat untuk merembat deras menewaskan Sharbinee pada minit ke-74.
Minit ke-85 menyaksikan Herlison Caion sekali lagi berjaya menewaskan Shabinee buat kali kedua namun jaringannya dibatalkan pengadil, Muhammad Usaid Jamal setelah Caion dilihat menampan bola dengan tangan terlebih dahulu.
Bagaimanapun, pemain import dari Brazil itu kemudiannya menebus kesilapan berkenaan apabila meledak hattrik dengan merembat deras gol keenam Selangor FC.
Pada masa kecederaaan, pemain gantian Aliff Haiqal Lokman Hakim melengkapkan kemenangan besar skuad Red Giants itu apabila meledak gol ketujuh menerusi rembatan kencang dari luar kotak penalti
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!