Jangan kedekut beli insurans bencana

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

STATISTIK daripada Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) pada tahun ini menunjukkan hanya empat peratus daripada rakyat Malaysia telah membeli perlindungan insurans banjir.

Kadar itu membuktikan masih ramai pemilik kereta di negara ini yang tidak menambah perlindungan tambahan peril khas ketika memperbaharui insurans kenderaan masing-masing.

Peril khas bukan hanya untuk banjir tetapi melindungi kerosakan kenderaan akibat bencana alam lain seperti ribut, tanah runtuh dan mendap serta pokok tumbang.

Perubahan iklim ketika ini dengan cuaca tidak menentu boleh mengundang risiko bencana alam di luar jangkaan.

Misalnya kejadian banjir di Lembah Klang terutama Taman Sri Muda Seksyen 25 di Shah Alam pada hujung tahun lalu.

Ratusan kereta ditenggelami bah dan penduduk terperangkap beberapa hari.

Banjir dan bencana alam lain turut menjejaskan beberapa kawasan lain di seluruh negara.

Kerosakan harta benda bukan hanya melibatkan penduduk yang tinggal di kawasan berkenaan tetapi pengunjung luar yang berada di lokasi ketika kejadian berlaku tanpa diduga.

Amat dukacita apabila AXA Affin General Insurance Berhad (AXA) mendedahkan, lebih dari 80 peratus kenderaan yang ditunda oleh syarikat insurans itu akibat banjir pada tahun lalu tidak mempunyai perlindungan banjir.

Walaupun ada peningkatan dalam pembelian perlindungan insurans peril khas selepas bencana alam tersebut, tetapi jumlahnya sedikit iaitu hanya 3.9 peratus.

"Hakikatnya seseorang hanya sedar tentang kepentingan perlindungan insurans selepas berlakunya sesuatu insiden bila mereka tidak menerima sebarang pampasan atau tidak mempunyai cara untuk menggantikan kerugian atau kerosakan," kata Ketua Pegawai Eksekutif AXA, Emmanuel Nivet.

Baik pulih kerosakan kereta akibat banjir menelan belanja tinggi.

Ada pusat servis kereta yang mengenakan caj lebih RM1,000 hanya untuk kerja pembersihan.

Kos baiki pula sekitar RM5,000 hingga puluhan ribu bergantung kepada model kereta dan alat ganti.

Bagi mereka yang tidak memiliki kenderaan lain untuk pergi balik kerja, situasi ini menambah beban dan tekanan selain menjejaskan aktiviti harian.

Oleh yang demikian, kita perlu sentiasa beringat bak kata peribahasa ‘sediakan payung sebelum hujan’.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!