Pemandu mabuk mengaku tidak bersalah sebabkan kematian penjawat awam
KAMPAR - Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kampar pada Isnin atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian seorang penjawat awam, dua minggu lalu.
K Suntharalingam, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret TR Kavita.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memandu kereta Honda Civic di jalan raya semasa berada di bawah pengaruh minuman yang memabukkan.
Tertuduh tidak berdaya mengawal kenderaan itu hingga menyebabkan kematian Mohd Nazri Sham Aring, 42, di Kilometer 1, Jalan Kuala Dipang-Malim Nawar dalam daerah Kampar lebih kurang jam 11.45 malam pada 5 Jun lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda maksimum RM100,000.
Timbalan Pendakwa Raya, M Esther Jacyntha menawarkan wang jaminan RM10,000, namun Peguam Baldip Singh yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya sudah berkahwin dan isteri yang sedang sarat mengandung.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin selain mengenakan syarat tambahan lesennya digantung sementara menunggu pelupusan kes dan tidak dibenarkan keluar dari negeri tanpa kebenaran Ketua Polis Negeri.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 13 Julai depan.
Pada 6 Jun lalu, Sinar Harian melaporkan seorang penjawat awam maut apabila kereta jenis Perodua Viva dipandu dilanggar pemandu disyaki mabuk yang memasuki laluan kenderaannya.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.45 malam itu, mangsa yang bertugas di Pejabat Tanah dan Daerah Kampar maut di tempat kejadian akibat kecederaan di bahagian dada.
Kejadian turut mengakibatkan isteri mangsa berusia 33 tahun cedera ringan manakala anak lelakinya berusia tiga tahun yang berada dalam kereta itu mengalami pendarahan dalaman di bahagian kepala.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!