Jesus belum muktamadkan keputusan
BINTANG Manchester City, Gabriel Jesus menegaskan dia masih belum memuktamadkan keputusan untuk menerima tawaran daripada Tottenham Hotspur dan Arsenal yang dikatakan berminat mendapatkan khidmatnya musim panas ini.
Pemain kelahiran Brazil itu berkata, dia juga masih belum dihubungi oleh kedua-dua pasukan berkenaan bagi membincangkan lebih lanjut berhubung perkara itu.
Malah menurut Jesus, setakat ini dia gembira di Etihad selain masih memiliki baki kontrak bersama The Citizens.
“Saya gembira berada di sini (City), mengenai masa depan ia masih belum dapat dipastikan...lagi pun masih ada kontrak di sini (Etihad).
“Saya juga telah menyatakan hasrat kepada penyokong City termasuk ejen berhubung perkara berkenaan.
“Mereka tahu apa yang bermain di fikiran saya ketika ini dan apa dimahukan dalam bola sepak,” katanya.
Untuk rekod pengenali Tottenham Hotspur, Antonio Conte dan Mikel Arteta (Arsenal), baru-baru ini menyatakan minat untuk mendapatkan pemain Brazil itu dalam usaha memperkuatkan pasukan masing-masing.
Bagi Conte, kehadiran Jesus dilihat bakal membantu skuad kendaliannya kerana corak permainan terbuka diamalkan pemain berkenaan.
Arteta pula menyifatkan pemain berusia 25 tahun itu mampu mengisi kekosongan ditinggalkan dua penyerang The Gunners, Alexandre Lacazette and Pierre-Emerick Aubameyang.
Mengulas mengenai kehadiran dua pemain baharu City, Erling Haaland dan Julian Alvarez ke Etihad, Jesus berkata, ia adalah perancangan daripada pengendali Pep Guardiola.
Bagaimanapun, dia tidak mahu mengulas lanjut berhubung perkara berkenaan kerana ia merupakan perancangan bagi memperkuatkan pasukan.
“Saya tidak mahu mengulas lanjut kerana saya pasti perkara ini adalah perancangan daripada Guardiola bagi memperkuatkan lagi pasukan ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!