Hurkacz kini 10 pemain terbaik dunia
BINTANG tenis Poland, Hubert Hurkacz kini tersenarai dalam kelompok 10 pemain terbaik dunia susulan kemenangan ke atas pemain nombor satu dunia, Danill Medvedev pada aksi final Terbuka Halle, pada Ahad.
Menurut Hurkacz, kejayaan itu juga dilihat cukup bermakna kepadanya kerana ia merupakan trofi pertama yang dimenangi tahun ini selain memenangi kejohanan yang berlangsung di gelanggang rumput buat julung kalinya.
“Saya terlalu gembira dengan kejayaan ini kerana saya telah menunggu beberapa bulan untuk merekodkan gelaran pertama saya tahun ini.
“Tambah menggembirakan apabila saya berjaya memenangi kejohanan ATP 500 yang berlangsung di gelanggang rumput sepenuhnya kali ini,” katanya.
Pada aksi final berkenaan, Hurkacz yang juga pilihan kelima kejohanan mempamerkan aksi mantap bagi menewaskan Medvedev 6-1, 6-4.
Kemenangan itu menyaksikan Hurkacz melonjak dua anak tangga dari kedudukan ke-12 kepada kedudukan ke-10 sekali gus mengesahkannya selaku antara 10 pemain terbaik dunia ketika ini.
Mengulas mengenai aksinya pada final berkenaan, Hurkacz berkata, dia berjaya melakukan servis dengan baik selain menyelamatkan beberapa mata dius.
Malah Hurkacz berkata, dia juga memanfaatkan sepenuhnya momentum kemenangan daripada set pertama untuk memenangi set kedua.
“Saya juga berjaya mematahkan beberapa servis daripada Medvedev dan ia semakin meningkatkan semangat saya untuk terus menguasai perlawanan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!