Gustavo Petro menang jawatan Presiden Colombia
BOGOTA - Gustavo Petro menang jawatan Presiden Colombia pada Ahad selepas menewaskan calon bebas Rodolfo Hernandez pada pusingan kedua pilihan raya, lapor Jabatan Pendaftaran Awam Negara.
Dengan 99.67 peratus rakyat keluar mengundi, Petro, calon Pakatan Bersejarah bagi Colombia yang berhaluan kiri, berdepan saingan sengit merebut jawatan itu dengan memperoleh 11,266,138 undi, atau 50.48 peratus daripada jumlah undi, manakala Hernandez memperoleh 10,546,163 undi (47.26 peratus), lapor Xinhua.
Petro menerusi ciapan di Twitter berkata bahawa hari ini adalah hari 'sambutan'.
"Mari kita raikan kemenangan popular pertama.
"Kemenangan ini didedikasikan untuk Tuhan, untuk rakyat, dan ia bersejarah. Hari ini adalah hari perayaan di jalanan dan dataran," katanya.
Presiden Ivan Duque menerusi ciapannya memaklumkan beliau telah menghubungi Petro untuk mengucapkan tahniah di atas kemenangannya.
Petro, 62, merupakan seorang senator serta bekas datuk bandar Bogota, dan dijangka memulakan tugas secara rasmi pada 7 Ogos. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!