PH wajib menang untuk tolak kleptokrasi: Amanah
SEREMBAN - Kerusi DUN Rantau wajib dimenangi PH supaya dapat menghalang kebangkitan kleptokrasi, kata Pengerusi Amanah Negeri Sembilan, Datuk Zulkefly Mohamad Omar.
Beliau berkata, ini kerana kerajaan tidak mahu lagi rakyat terus tertipu dengan permainan politik pembangkang.
"(PH) Negeri Sembilan diberi tanggungjawab yang besar. Kalau BN menang (PRK DUN Rantau), kita (PH) seri.
"Kita tidak akan benarkan (BN menang). Yang wajib menang adalah kita (PH) supaya kita dapat tolak kleptokrasi," katanya ketika ditemui sebaik selesai merasmikan Pejabat
Operasi Amanah PRK DUN Rantau di bandar Seri Sendayan di sini, semalam.
Menurutnya, rakyat juga diseru untuk menolak calon BN agar parti itu terus 'dikebumikan'.
"Tiada sebarang keuntungan kepada rakyat jika memberi kemenangan kepada calon BN kerana kerajaan negeri dan pusat ketika ini ditadbir PH.
"Apa yang boleh (BN) lakukan hanyalah menipu dan menggambarkan mereka tidak bersalah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!