Pensyarah, pelajar PSMZA berjaya cipta jam matahari

Azhari (dua, kanan) menunjukkan cara bacaan masa menggunakan jam matahari di PSMZA. - Foto PSMZA
Azhari (dua, kanan) menunjukkan cara bacaan masa menggunakan jam matahari di PSMZA. - Foto PSMZA
A
A
A

DUNGUN – Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) melakar sejarah tersendiri apabila menjadi politeknik pertama dalam negara berjaya menghasilkan jam matahari.

Pengarah PSMZA, Mohd Fikri Ismail berkata, projek itu merupakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Jabatan Kejuruteraan Elektrik (JKE) serta Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (JTMK) PSMZA.

Menurut Mohd Fikri, jam matahari tersebut berjaya dihasilkan dalam tempoh sebulan dengan kerjasama pensyarah dan pelajar.

“Jam matahari adalah sejenis instrumen yang dicipta untuk mengukur peredaran masa melalui pergerakan matahari.

“Selari dengan perubahan pada kedudukan matahari, waktu yang ditunjukkan oleh bayang tersebut turut berubah,” katanya dalam kenyataan, pada Isnin.

Tambah Mohd Fikri, program ciptaan tersebut mendapat kerjasama daripada Pertubuhan Juruukur Diraja Malaysia (RISM) dan disempurnakan oleh Presiden RISM, Datuk Sr Dr Azhari Mohamed.

Beliau berkata, jam matahari itu ditempatkan di kawasan dataran PSMZA untuk kegunaan warga politeknik bagi mendidik pelajar dan kakitangan supaya memahami kaedah pengiraan waktu zaman dahulu.

Kata Mohd Fikri, selain jam matahari pihaknya turut membina arca ‘We Love PSMZA’ sebagai tanda simbolik dan daya penarik kepada PSMZA.

“Arca ini dibina hasil kerjasama pensyarah dan pelajar dari Jabatan Pengajian Am (JPA) serta Jabatan Matematik, Sains dan Komputer (JMSK).

“Pengurusan PSMZA sentiasa menyokong usaha seperti ini kerana selain melihat sebuah binaan yang akan menjadi salah satu tarikan di PSMZA, tersemai hubungan erat antara sesama warga PSMZA ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!