Terpaksa tolak lamaran JDT
HASRAT seorang remaja dari Permatang Pauh, Pulau Pinang untuk menjadi seorang pemain bola sepak profesional semakin cerah apabila diterima masuk belajar di British International School, Phuket di Thailand mulai April ini.
Beliau diserap di bawah Program High Performance Team (HPT) dan mendapat biasiswa sukan (bola sepak) sebanyak RM120,000 setahun yang dikendalikan di bawah Cruzeiro Football Academy.
Muhammad Adam Nadzmi Zamri, 17, akan berada di akademi tersebut selama dua tahun sebelum diberi pilihan sama ada untuk meneruskannya di Eropah ataupun Amerika Syarikat selama empat tahun pula.
Bekas Kapten Pasukan National Football Development Project (NFDP) dari 2010 hingga 2013 ini adalah bakal pemain bola sepak pertama dari Malaysia yang berlatih di akademi tersebut dikendalikan sepenuhnya pengendali dan modul dari Brazil bersama pemain negara lain dari seluruh dunia.
Walaupun pada awalnya, bakatnya telah dihidu dan dilamar Akademi kelab Liga Super Johor Darul Ta'zim (JDT) pada hujung 2018 namun dengan rasa berat hati beliau menolak dengan baik kerana mahu mengasah bakat di luar negara di samping tidak meminggirkan kepentingan akademik.
"Memang rasa berat hati juga nak tolak pelawaan JDT kerana kelab itu mempunyai fasiliti yang lengkap di samping ramai pemain bintang namun selepas berbincang dengan keluarga, mereka mencadangkan untuk terus berlatih di akademi tersebut.
"Pada waktu sama, saya sebenarnya turut ditawarkan untuk menyambung pengajian di Bukit Jalil pada tahun ini namun nampaknya rezeki saya ada di British International School, Phuket dan saya memutuskan untuk ke Thailand," katanya kepada Sukan Sinar semasa ditemui di Padang Sekolah Menengah Sains Tun Syed Sheh Shahabudin, dekat sini.
Kagum pasukan JDT, Kedah
Sepanjang tempoh enam tahun tersebut, Muhammad Adam Nadzmi bakal menerima tajaan biasiswa sebanyak RM720,000 dalam usaha akademi mengasah pemain berbakat besar ini yang beraksi di posisi tengah dan penyerang.
Mengecapi pelbagai kejayaan dan pengalaman bersama banyak pasukan tempatan dan Pulau Pinang bawah 12 tahun, bawah 15 tahun dan bawah 18 tahun, peluang untuk menimba ilmu di luar negara sama sekali tidak dapat ditolak olehnya.
Kejayaan beliau yang muncul juara bersama pasukan NFDP di Croatia pada 2010 selain mempunyai pengalaman beraksi di Bosnia, Jerman, Korea Selatan, Jepun dan Singapura memberikan keazaman beliau untuk beraksi di luar negara pada usia remaja.
Selama dua tahun belajar di Phuket, Muhammad Adam Nadzmi akan mengambil peperiksaan A Level bagi melayakkan beliau untuk mengembangkan sayapnya ke Eropah ataupun Amerika Syarikat.
"Impian saya adalah untuk beraksi di luar negara dan selepas itu akan kembali pulang berbakti kepada Malaysia pula. Jika pulang ke negara ini, jika ada peluang saya mahu mencuba nasib sekali lagi bersama JDT. Satu lagi pasukan yang dikagumi adalah Kedah kerana sejarah dan juga aura yang dimilikinya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!