Anak Duterte angkat sumpah jawatan Naib Presiden ke-15 Filipina

Duterte-Carpio (tengah) mengangkat sumpah di hadapan hakim bersekutu Mahkamah Agung, Ramon Hernando dan turut diiringi ibu dan bapanya, Duterte. - Foto AFP
Duterte-Carpio (tengah) mengangkat sumpah di hadapan hakim bersekutu Mahkamah Agung, Ramon Hernando dan turut diiringi ibu dan bapanya, Duterte. - Foto AFP
A
A
A

DAVAO CITY - Sara Duterte-Carpio mengangkat sumpah jawatan sebagai Naib Presiden ke-15 Filipina pada Ahad di bandar kelahirannya di Davao City di selatan negara tersebut.

Beliau turut diiringi ibunya, Elizabeth dan bapanya, Presiden Rodrigo Duterte yang akan menyerahkan kuasa pentadbiran kepada penggantinya, Ferdinand 'Bongbong' Marcos Jr pada 30 Jun ini.

"Kita tidak sepatutnya mensia-siakan masa depan anak-anak kita. Hari mendatang mungkin penuh dengan cabaran yang memerlukan kita untuk lebih bersatu sebagai sebuah negara.

"Ayuh kita pamerkan rasa cinta kepada negara dengan menjaga keluarga dan komuniti untuk menempuh segala cabaran," katanya yang turut dikenali dengan nama panggilan Inday sambil disambut sorakan ribuan penyokongnya termasuk Marcos Jr yang hadir pada majlis tersebut.

Difahamkan, peguam dan bekas Datuk Bandar Davao City yang menyambung legasi bapanya akan mengambil alih jawatan secara rasmi pada akhir bulan ini.

Penggal perkhidmatan selama enam tahun akan berakhir pada 30 Jun 2028.

Pada awal bulan lalu, wanita berkenaan menyatakan beliau berharap dapat mencapai kemajuan bersama komuniti aktif Filipina-Cina di negara tersebut.

Duterte-Carpio juga diberi tanggungjawab untuk mengetuai Jabatan Pendidikan di bawah pentadbiran Marcos Jr. - Xinhua

Info:

>Pada usia 44 tahun, Duterte-Carpio menjadi pemimpin paling muda dilantik sebagai naib presiden dan naib presiden wanita ketiga selepas Gloria Macapagal-Arroyo dan Maria Leonor Robredo.

>Kemenangannya disahkan setelah meraih 32.2 juta undi manakala pasangan regunya, Marcos Jr memperoleh 31.6 juta undi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!