Tiga lagi pengunjung pantai diserang ubur-ubur di Besut

Ubur-ubur yang dipercayai menyebabkan mangsa mengalami gatal-gatal dan merah pada badan selepas terkena.- Foto Ihsan APM
Ubur-ubur yang dipercayai menyebabkan mangsa mengalami gatal-gatal dan merah pada badan selepas terkena.- Foto Ihsan APM
A
A
A

BESUT – Selepas 10 hari serangan ubur-ubur dilaporkan, tiga lagi mangsa mengalami gatal-gatal selepas terkena sengatan haiwan berkenaan dalam kejadian terbaharu di Pantai Bukit Keluang di sini pada Jumaat lalu.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Besut, Kapten (PA) Ramlan Ros Wahid berkata, kejadian pertama berlaku pada jam 3.50 petang melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun.

Menurut beliau, hampir dua jam selepas itu, seorang remaja lelaki turut disengat ubur-ubur merah atau Irukandji sebelum seorang lagi kanak-kanak lelaki mengalami kejadian sama sejam kemudian.

“Ketika kejadian, mereka sedang mandi di pantai dan selepas terkena gigitan, kanak-kanak perempuan bersama dua mangsa berusia 16 dan tujuh tahun itu mengalami gatal-gatal dan merah pada bahagian tangan serta kaki.

“Bagaimanapun, mereka dilaporkan stabil selepas menerima rawatan awal oleh Pasukan Penyelamat Pantai Pertahanan Awam Besut,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Isnin.

Ramlan berkata, setakat ini sebanyak lapan kes serangan ubur-ubur sudah direkodkan di Pantai Bukit Keluang dan Pulau Rhu dalam tempoh dua bulan kebelakangan ini.

Bagaimanapun katanya, orang ramai tidak perlu bimbang dan takut ketika berkunjung ke Pantai Bukit Keluang kerana kawasan peranginan itu masih selamat untuk dikunjungi serta mandi manda bersama keluarga.

“Jika terkena, ubur-ubur ini hanya akan menimbulkan bintik kemerahan pada badan dengan rasa gatal tanpa masalah serius dan kami segera beri rawatan awal selepas mendapat aduan.

“Petugas Penyelamat Pantai Besut akan sentiasa memantau keadaan pantai bagi memastikan keselamatan pengunjung

“Amaran juga akan dikeluarkan kepada orang ramai contoh mengibarkan bendera merah di lokasi berkaitan bagi mencegah pengunjung melakukan aktiviti air untuk mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan APM daerah Besut telah mengendalikan lima kes pengunjung disengat ubur-ubur merah ketika mandi di pantai di sini dalam tempoh dua bulan kebelakangan ini.

Kejadian terbaharu dilaporkan berlaku pada 5 dan 7 Jun lalu di dua lokasi berbeza iaitu di Pulau Rhu dan Pantai Bukit Keluang melibatkan seorang kanak-kanak perempuan dan lelaki masing-masing berusia lima serta 10 tahun.

Bagaimanapun, kedua-dua kanak-kanak tersebut dilaporkan stabil selepas penyelamat pantai APM Besut memberi rawatan awal kepada mangsa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!